Akta Perlindungan Guru Penting, Demi Masa Depan Pendidikan Negara
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin berpandangan Akta Perlindungan Guru perlu digubal segera bagi menyediakan kerangka undang-undang yang jelas untuk melindungi guru daripada pendakwaan melulu.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju berkata melalui akta ini ia dapat menetapkan prosedur aduan yang adil serta memastikan sebarang tindakan undang-undang hanya diambil selepas penilaian profesional dan siasatan menyeluruh.
“Akta ini bukan untuk memberi kekebalan mutlak kepada guru, tetapi untuk memastikan keadilan, keseimbangan dan kewibawaan profesion perguruan terus terpelihara.
“Kerajaan tidak boleh terus berdiam diri sementara guru teraniaya, dihukum dan dikorbankan demi populariti atau tekanan awam. Melindungi guru bermakna mempertahankan masa depan pendidikan dan negara,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Nasrun dalam pada itu menyifatkan penggubalan Akta Perlindungan Guru tidak lagi boleh dipandang ringan atau ditangguhkan kerana kegagalan melindungi profesion perguruan telah membawa kesan serius terhadap sistem pendidikan negara.
Menurut beliau ini kerana, guru bukan sahaja terpaksa berdepan tekanan melampau daripada ibu bapa dan masyarakat, malah ada yang berakhir di balai polis dan mahkamah hanya kerana melaksanakan tanggungjawab mendidik dan mendisiplinkan murid.
“Kita telah menyaksikan beberapa kes di mana guru didakwa di mahkamah susulan aduan berkaitan tindakan disiplin di sekolah, walaupun tindakan tersebut dilakukan dalam konteks mendidik dan mengawal tingkah laku pelajar.
“Lebih menyedihkan, terdapat guru yang terpaksa menanggung kos guaman, trauma emosi dan kerosakan reputasi walaupun kes berkenaan masih dalam perbicaraan atau akhirnya tidak dibuktikan.
“Namun, akibat ketiadaan perlindungan undang-undang khusus, guru tetap menjadi mangsa keadaan,” ujar beliau.
Katanya lagi, keadaan ini juga jelas menunjukkan wujudnya ketidakseimbangan dalam sistem sedia ada yang menyaksikan guru mudah dipersalahkan secara terbuka dan dijadikan kambing hitam demi meredakan tekanan awam.
Malah lebih membimbangkan katanya, terdapat tindakan pentadbiran yang dibuat secara tergesa-gesa akibat sentimen media dan desakan politik, tanpa menunggu hasil siasatan yang adil dan profesional.
“Ini bukan sahaja menzalimi guru, malah mencerminkan kegagalan negara mempertahankan institusi pendidikan.
“Akibatnya, budaya takut semakin menular dalam kalangan guru. Ramai yang memilih untuk tidak menegur, tidak mendisiplinkan dan tidak bertindak tegas kerana bimbang akan disiasat, didakwa atau diseret ke mahkamah.
“Jika keadaan ini dibiarkan, sekolah akan kehilangan fungsi asasnya sebagai institusi pembentukan disiplin, nilai dan akhlak,” katanya lagi.
Terdahulu Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang lalu mencadangkan agar Akta Perlindungan Guru Malaysia diwujudkan bagi melindungi warga pendidik susulan pelbagai cabaran yang dihadapi ketika ini.
Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu penting untuk memastikan guru dapat melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan berkesan, khususnya berkaitan disiplin, beban tugas serta kebajikan. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
