Melaka Mendahului 35 Inisiatif H.E.M.A.T., Terima Pengiktirafan JPA

MELAKA, 28 Jan – Kerajaan Negeri Melaka terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pembaharuan perkhidmatan awam apabila muncul sebagai negeri penyumbang inisiatif terbanyak di bawah kerangka nilai H.E.M.A.T., dengan pelaksanaan sebanyak 35 inisiatif yang menerima pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pencapaian tersebut membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri dan penjawat awam dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berintegriti dan berteraskan keperluan rakyat.

“Alhamdulillah, berdasarkan pemakluman daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, Melaka telah muncul sebagai negeri yang menyumbang inisiatif H.E.M.A.T. terbanyak. Ini adalah hasil usaha berpasukan seluruh jentera kerajaan negeri yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk Kampung Digital Negeri Melaka, Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta pendigitalan tapak perkuburan Islam Negeri Melaka, yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan akses perkhidmatan awam.

Menurut beliau, penerapan nilai H.E.M.A.T. sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan tadbir urus baik, kecekapan penyampaian serta budaya kerja berintegriti dalam kalangan penjawat awam.

“Inisiatif H.E.M.A.T. bukan sekadar pembaharuan sistem, tetapi satu perubahan budaya kerja. Ia menuntut setiap penjawat awam bekerja dengan lebih cekap, telus dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam negeri Melaka serta rakyat yang sentiasa memberi sokongan padu terhadap pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan negeri.

“Terima kasih kepada penjawat awam negeri dan seluruh rakyat Melaka yang bersama-sama menyokong agenda pembaharuan ini. Kejayaan ini adalah milik kita bersama.”

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Melaka komited untuk terus memperluaskan pelaksanaan inisiatif H.E.M.A.T. agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO