Forum Better Nation 2026: Sesuaikan Tradisi Politik Dengan Realiti Generasi Muda
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Forum Better Nation (BN) ke-9 meneruskan langkahnya pada tahun 2026 sebagai platform wacana strategik yang menghimpunkan pemimpin, penggubal dasar, ahli akademik dan pemain industri bagi membincangkan cabaran serta hala tuju negara ke arah pembangunan yang lebih mampan dan inklusif.
Mengupas tajuk ‘Model Baharu Barisan Nasional: Antara Tradisi Politik dan Tuntutan Perubahan’, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hishomuddin Bakar berkata, bahawa corak pemikiran pengundi khususnya dalam kalangan anak muda banyak dipengaruhi oleh maklumat awal yang mereka terima, sekali gus membentuk persepsi yang sukar diubah tanpa impak yang kuat.
“Segala elemen maklumat yang memasuki pemikiran pengundi muda akan terus melekat dalam minda mereka dan dipercayai sepenuhnya, melainkan terdapat faktor atau naratif yang benar-benar mampu memberi kesan mendalam serta mengubah persepsi tersebut.
“Saya melihat parti ini masih belum mempunyai data dan pendekatan yang cukup kukuh untuk ‘neutralize virus’ dalam usaha memasukkan pemikiran anak muda, khususnya orang Melayu. Sebagai contoh, walaupun Perikatan Nasional (PN) dilihat bergasak dan berkonflik sesama sendiri, sasaran serangan tersebut tidak sampai kepada anak muda dan tidak berlaku sebarang ‘labelling’ yang memberi kesan.
“Anak-anak muda kini mereka hidup tidak mengenal ‘brand’ seperti orang-orang terdahulu yang pernah mengecapi kegemilangan BN sebaliknya mereka menilai sesebuah parti berdasarkan keupayaan menangani isu semasa,” katanya ketika forum yang diadakan di Menara Dato’ Onn, malam tadi.
Sementara itu bagi Pensyarah dari Universiti Nottingham Malaysia, Dr Bridget Welsh berkata BN sinonim dengan pembinaan negara, dan itulah legitimasi utama BN.
“Penyelesaian konflik ini bukan sekadar meredakan ketegangan, tetapi bertujuan membina kepercayaan, memupuk persefahaman dan mengeratkan persahabatan demi kestabilan serta keharmonian negara. BN telah sebati dalam pembinaan negara dan itu legitimasi BN. Pembinaan negara adalah sebahagian daripada tradisi bagi penyelesaian konflik, berbincang dan menyelesaikan masalah.
“Bermula dengan Perikatan sebelum berkembang menjadi BN, pembinaan negara telah menjadi sebahagian daripada tradisi perjuangan gabungan ini. Sejarah membuktikan bagaimana tiga parti utama, UMNO, MCA dan MIC menguruskan perbezaan dan konflik dalam masyarakat majmuk negara ini.
“Malah, selepas peristiwa rusuhan kaum pada tahun 1969, pendekatan penyelesaian konflik terus diperkukuh dengan mewujudkan ruang dalam BN untuk perbincangan dan musyawarah,” jelasnya.
Dalam pada itu, bagi Felow Kanan Program Pengajian Malaysia ISEAS-Institut Yusof Ishak di Singapura, Dr Lee Hwok Aun berpandangan bahawa peralihan landskap politik semasa menuntut BN memperkukuhkan pentadbiran dan dasar terhadap keperluan semasa rakyat.
“Dalam peralihan ini ialah bagaimana mencari kaedah baru untuk menjadi lebih seimbang dan bukan sahaja untuk etnik lain tetapi pada kumpulan demografi lain terutamanya belia di seluruh negara. BN mempunyai rekod pembangunan yang baik dan tiada parti lain yang boleh mencapai rekod BN.
“Pengundi negara ini mempunyai pelbagai ciri-ciri dan lebih matang serta tidak mudah untuk mendapatkan undi mereka. Kerana itu perlu perbaiki fomula dan tawarkan lebih kepada pengundi-pengundi untuk mendapatkan kuasa memerintah kembali. BN harus menawarkan dasar-dasar yang boleh menawan rakyat secara lebih bernas, berkesan dan inovatif,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, banyak perubahan-perubahan baru yang berlaku terutamanya dari segi pembangunan, demografi yang perlu ditangani agar demografi ini dapat difahami dengan lebih mendalam bagi hadapi politik yang dinamik.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuka sesi dengan menyampaikan ucaptama yang kemudian diteruskan dengan sesi forum apabila Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjadi moderatornya.
Forum Better Nation ialah wacana dinamik cetusan Ahmad Zahid yang menghimpunkan pemimpin pemikiran, pakar pelbagai bidang dan suara rakyat untuk membincangkan isu kritikal masa depan Malaysia dengan siri pertamanya dilancarkan pada 12 Februari 2025. – UMNO Online
