Tok Mat Sempurnakan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan, Tekankan Pentingnya Pendidikan
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Awal Persekolahan kepada murid-murid di SMK Dato’ Undang Haji Adnan, Kota dalam satu majlis ringkas yang melibatkan seramai 405 orang murid penerima, semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri warga sekolah dan ibu bapa, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara pihak sekolah dan komuniti setempat dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.

Menurut beliau yang juga dikenali dengan panggilan Tok Mat, Bantuan Awal Persekolahan merupakan antara inisiatif Kerajaan yang amat signifikan dalam membantu ibu bapa membuat persediaan awal persekolahan anak-anak.
“Bantuan ini adalah usaha Kerajaan untuk meringankan beban perbelanjaan awal persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa, terutamanya bagi penyediaan keperluan asas pendidikan anak-anak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rembau.
Selesai majlis di SMK Dato’ Undang Haji Adnan, Tok Mat meneruskan program ke SMK Seri Sendayan bagi menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan 2026 kepada para pelajar sekolah berkenaan.

Di SMK Seri Sendayan, seramai 1,296 orang pelajar telah menerima manfaat daripada bantuan tersebut. Beliau berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
“Saya berharap bantuan ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa dan penjaga, malah menjadi pemangkin semangat kepada anak-anak untuk terus fokus, berdisiplin dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik,” ujar beliau lagi. – UMNO Online
