Penerangan UMNO Johor Mantapkan Barisan, Siap Kuasai Medan Naratif Digital

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Penerangan UMNO Negeri Johor terus memperkukuh kesiapsiagaan jentera komunikasinya menerusi penganjuran Program Pemerkasaan Penerangan Empat Peringkat dan Media UMNO Bahagian Negeri Johor sebagai langkah serius dan tersusun dalam menghadapi landskap politik yang semakin mencabar serta persiapan menuju Pilihan Raya akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah berkata program berkenaan bukan sekadar latihan, sebaliknya berperanan sebagai platform ‘warm-up’ strategik bagi meniup semangat, menyatukan gerak kerja serta menyeragamkan naratif Penerangan UMNO Johor di semua peringkat.

Menurut beliau, program itu menghimpunkan barisan Ketua Penerangan dan pasukan media UMNO Bahagian bagi memastikan setiap jentera bergerak dengan disiplin, kefahaman yang jelas serta hala tuju komunikasi yang seiring di peringkat Negeri, Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Pengisian utama seperti Kuasa Digital, Strategi Naratif UMNO, Penerangan Isu Semasa, Mind Setting Penerangan serta Agenda Maju Johor dirangka bagi memperkukuh keupayaan jentera untuk menguasai ruang digital, menangkis persepsi negatif dan menampilkan UMNO sebagai parti yang berfakta, konsisten serta dekat dengan rakyat,” katanya.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob serta Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang berkongsi pandangan dan ilmu berkaitan perkembangan politik semasa.

Md Israk berkata, penganjuran program itu selari dengan Hala Tuju Penerangan UMNO 2026 yang memberi penekanan kepada penstrukturan semula organisasi dan lonjakan digital, termasuk pengukuhan ke arah penubuhan Sekretariat Digital UMNO sebagai tulang belakang strategi media, sistem komunikasi dan pengaruh di platform sosial.

Beliau turut menegaskan bahawa media sosial UMNO bukan sekadar wadah laporan aktiviti, sebaliknya medan utama pertempuran persepsi yang menuntut gerak kerja pantas, tersusun dan berimpak tinggi.

“Komitmen ini membuktikan kesungguhan Penerangan UMNO Johor untuk memastikan suara parti disampaikan dengan fakta, ketegasan dan kekuatan naratif yang diyakini rakyat, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap UMNO sebagai parti yang bersedia memimpin Johor ke hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO