UMNO Kedah Menjunjung Kasih Perkenan Tuanku Sultan, Masjid Kekal Bebas Daripada Politik
ALOR SETAR, 26 Jan – UMNO Kedah menjunjung kasih atas perkenan Sultan Kedah yang menetapkan agar sebarang ceramah, khutbah dan kuliah di masjid serta surau tidak diberikan kebenaran secara sewenang-wenangnya, khususnya yang melibatkan individu berkepentingan politik.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, perkenan tersebut mencerminkan hasrat Tuanku Sultan agar institusi masjid kekal sebagai pusat penyatuan ummah, penyebaran ilmu yang berautoriti serta tempat ibadah yang bebas daripada sebarang bentuk penyalahgunaan politik.
Menurut beliau, UMNO Kedah menyambut baik ketegasan yang ditunjukkan kerana pendekatan itu dilaksanakan secara adil tanpa memihak kepada mana-mana pihak, malah terpakai kepada semua termasuk pimpinan kerajaan negeri sendiri.

“Keadaan di mana Exco Agama juga tidak dibenarkan menyampaikan ucapan atau ceramah tanpa kebenaran membuktikan prinsip keadilan dan konsistensi dalam menjaga kesucian institusi masjid,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.
Beliau menegaskan, perkenan Tuanku Sultan Kedah itu jelas menunjukkan pendirian Baginda agar masjid terus berkecuali daripada sebarang fahaman politik, sekali gus membolehkan institusi berkenaan berfungsi dengan lebih berkesan sebagai pusat pembinaan ilmu, akhlak dan perpaduan umat Islam di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa UMNO Kedah berpandangan pemisahan yang jelas antara ruang ibadah dan ruang politik amat penting bagi memelihara keharmonian masyarakat serta mengelakkan polemik yang tidak perlu.
“Pendekatan ini juga dapat memastikan agama Islam tidak dieksploitasi sebagai alat legitimasi atau propaganda politik.
“Sehubungan itu, UMNO Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menyatakan sokongan penuh terhadap institusi Raja yang sentiasa menjadi pelindung rakyat, payung kedaulatan negeri serta benteng utama agama Islam dan bangsa Melayu, dan akan terus mendokong segala titah serta perkenan Tuanku demi kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negeri Kedah Darul Aman,” katanya lagi. – UMNO Online
