Penerangan UMNO Johor Diperkasa, Perkukuh Gerak Kerja Dengan Cakna Inisiatif Negeri
JOHOR BAHRU, 26 Jan – UMNO Johor terus menekankan kepentingan komunikasi berkesan kepada masyarakat melalui Program Pemerkasaan Penerangan 4 Peringkat dan Media UMNO Bahagian Negeri Johor yang berlangsung semalam.
Setiausaha Kerja UMNO Johor, Tengku Salman Fathi Tengku Jaafar memaklumkan program ini bertujuan memperkukuh peranan jentera penerangan dalam menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan negeri dan agenda pembangunan Johor kepada rakyat.

“Banyak inisiatif baik telah digarapkan dan dilaksanakan, tetapi masih ramai masyarakat belum cukup cakna. Insya-Allah, jentera penerangan UMNO bersiap siaga untuk bersama-sama menyampaikan maklumat ini kepada masyarakat,” katanya.
Program yang dianjurkan oleh Penerangan UMNO Johor yang diketuai Md Israk Abdullah, mendapat sambutan baik daripada Ketua-Ketua Penerangan Bahagian dan sayap bahagian negeri.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Johor (BPUNJ), Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang turut sama menyampaikan ucapan berkongsi ilmu berkaitan perkembangan politik semasa.
Dalam hal ini, Setiausaha Penerangan UMNO Johor merangkap Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani turut berkongsi mengenai kepentingan “Kuasa Digital” dalam landskap politik semasa.
Beliau menekankan bahawa media sosial kini menjadi medan utama dalam membentuk naratif politik dan persepsi masyarakat.

“Realiti politik hari ini jelas bahawa naratif dibentuk di ruang digital, dan rakyat menilai politik melalui skrin telefon pintar. Siapa menguasai algoritma, dialah yang menguasai persepsi. Sebab itu kempen ‘Like, Comment & Share’ bukan simbolik, tetapi strategi politik untuk memperluaskan pengaruh, mempertahankan naratif dan memastikan suara parti terus mendominasi ruang digital.”
Ahmad Solehin menegaskan bahawa politik moden menuntut gerak kerja yang pantas, mesej yang konsisten, dan jentera digital yang berdisiplin.
“Medan sudah berubah. Kita mesti menguasainya,” tambah beliau.
Program ini diharap dapat meningkatkan keupayaan jentera penerangan UMNO di seluruh negeri Johor untuk lebih berkesan dalam menyampaikan maklumat kerajaan negeri, sekaligus memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat difahami dengan lebih meluas. – UMNO Online
