Wan Rosdy: Kemenangan BN Bukti Amanah Rakyat Terus Dipikul

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah dan syabas kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, serta calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Ismail Hj. Ayob @ Miha, atas kemenangan cemerlang yang telah diraih.

Menurut beliau, kemenangan ini membuktikan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional masih utuh serta menjadi amanah besar kepada kedua-dua wakil rakyat untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan penduduk di kawasan masing-masing.

“Kemenangan ini adalah hasil kepercayaan rakyat dan bukti bahawa Barisan Nasional terus menjadi pilihan untuk membawa kestabilan serta pembangunan yang mampan,” katanya.

Wan Rosdy turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi dan jentera BN yang telah bekerja keras sepanjang tempoh kempen bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti.

“Terima kasih kepada seluruh jentera BN yang telah bertungkus-lumus, tanpa mengenal penat lelah, memastikan kemenangan ini milik kita bersama,” ujarnya.

Beliau menambah, mandat yang diberikan oleh rakyat perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperjuangkan suara rakyat, memacu pembangunan, serta menjamin kestabilan dan kemajuan di Kinabatangan dan Lamag.

“Gunakan kepercayaan ini untuk membawa lebih banyak kemajuan dan kesejahteraan demi masa depan yang lebih makmur dan sejahtera,” tegasnya.

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO