Kemenangan BN Kinabatangan, Lamag Manifestasi Kepercayaan Rakyat – Jafry

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Mohd Ismail Ayob, calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag serta Mohd Kurniawan Naim, calon Parlimen Kinabatangan atas kemenangan yang diraih dalam pilihan raya berkenaan.

Menurut beliau, kemenangan tersebut bukan sekadar satu pencapaian politik, sebaliknya menjadi manifestasi jelas kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan yang berteraskan kestabilan, pengalaman serta khidmat bakti kepada masyarakat.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Kinabatangan atas undi dan sokongan yang diberikan sehingga memastikan kemenangan kedua-dua calon Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS), atas sokongan padu serta komitmen jentera GRS dan semua parti komponen Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan tersebut.

Datuk Jafry turut berharap agar amanah yang diberikan oleh rakyat dapat ditunaikan dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat serta masa depan negeri Sabah.

Calon Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag selepas keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Sri Lamag, di sini.

Calon BN bagi Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, menang dengan majoriti 14,214 undi, manakala calon BN bagi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob atau dikenali sebagai MIHA, menang dengan majoriti 5,681 undi.

Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah, pada jam 10.52 malam bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan 10.05 malam bagi PRK Lamag, selepas semua peti undi dari 36 pusat mengundi dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO