Konsep Rumah Bangsa: Seruan Politik Melayu-Islam Tidak Terperangkap Dalam Perpecahan

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Konsep Rumah Bangsa yang diketengahkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 lalu merupakan seruan jelas supaya parti-parti politik Melayu-Islam tidak terus terperangkap dalam perpecahan lama.

Naib Ketua Pemuda UMNO Sungai Buloh, Zuree Affendie Dzuraimi berkata, konsep tersebut bukanlah slogan kosong dan ia turut menuntut parti-parti tersebut kembali berlandaskan realiti masa depan.

“Rumah Bangsa adalah penyatuan ummah. Berhenti menjual sejarah, kini masanya membina dan menjual masa depan. Itulah pendirian tegas yang telah dinyatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Ucapan Dasar PAU 2025.

“Ini bukan slogan kosong, tetapi seruan jelas agar politik Melayu-Islam kembali berlandaskan realiti masa depan, bukan terus terperangkap dalam perpecahan lama. Hakikat yang perlu diterima dengan jujur ialah parti-parti Melayu-Islam yang wujud hari ini lahir daripada rahim UMNO.

“Pas, PPBM dan Semangat 46 adalah cabang-cabang yang berpunca daripada UMNO. Parti Semangat 46 sendiri akhirnya kembali kepada UMNO apabila kesedaran agama dan bangsa mengatasi kepentingan sempit politik,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, pintu Rumah Bangsa telah dibuka seluas-luasnya dan ia mestilah berpaksikan UMNO sebagai rumah asal perjuangan Melayu-Islam.

“Konsep Rumah Bangsa mencerminkan kebesaran jiwa dan kepimpinan Presiden UMNO yang memilih penyatuan berbanding dendam, serta membuka ruang kembali kepada semua sama ada secara individu mahupun berkumpulan demi memperkukuh kekuatan Melayu dan Islam. Hari ini, pintu Rumah Bangsa dibuka seluas-luasnya.

“Namun mesejnya jelas dan tidak berbelit … penyatuan Melayu tidak boleh bersifat sementara, selektif atau bermusim. Ia mesti berpaksikan UMNO sebagai rumah asal perjuangan bangsa Melayu dan Islam.

“UMNO bukan parti nostalgia. UMNO adalah asas, tonggak dan benteng terakhir kekuatan Melayu dalam landskap politik negara. Melalui Rumah Bangsa inilah kita kembali berada di bawah satu payung yang sama. Payung yang pernah memelihara kestabilan negara dan menjadi rumah selamat untuk semua kaum. Penyatuan ini bukan pilihan. Ia adalah keperluan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa ucapan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika Perasmian Serentak Sayap pada PAU lalu menyifatkan Pergerakan Pemuda UMNO sebagai pembingit suara akar umbi kepada kepimpinan parti.

“Pada malam taklimat Timbalan Presiden sempena Perasmian Serentak Sayap, satu mesej yang jelas dan tegas telah disampaikan, bahawa Pemuda adalah pembingit suara akar umbi mendengar, memahami serta membawa denyut nadi ahli ke peringkat tertinggi kepimpinan parti tanpa kompromi terhadap prinsip.

“Garis merah yang telah dipersetujui bersama bukan sekadar retorik, sebaliknya wajib dihormati dan dipertahankan. Sebarang cubaan untuk mencabuli atau meremehkan ketetapan ini adalah tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan semangat perjuangan parti.

“UMNO bukan parti pelengkap dan tidak pernah menumpang dalam kerajaan. UMNO boleh bertoleransi dalam beberapa perkara demi kestabilan negara, namun toleransi tidak bermaksud menggadaikan maruah, prinsip dan jati diri perjuangan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa UMNO akan kekal relevan, berani dan berprinsip dengan segala nilai yang telah ditonjolkan oleh para pemimpin parti.

“Hakikatnya, UMNO adalah tiang seri kerajaan hari ini — penyokong utama kepada kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran negara. Tanpa UMNO, asas kekuatan kerajaan akan rapuh.

”Dengan nilai dan prinsip yang dizahirkan oleh kepimpinan termasuk Pemuda, UMNO terus membuktikan bahawa parti ini bukan sekadar bersejarah, tetapi kekal relevan, berani dan berprinsip.

“UMNO adalah parti perjuangan dahulu, kini dan selamanya,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO