PRK: Noraini Hargai Kerja Keras Wanita UMNO, Teruskan Demi Kemenangan BN
KUALA LUMPUR, 23 Jan – Bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan kesungguhan jentera Wanita UMNO Sabah yang terus bekerja keras membantu demi kemenangan parti.
Bagi menghargai komitmen tersebut, beliau yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi berbesar hati menyantuni jentera Wanita yang telah melaksana kerja lapangan sejak awal tempoh berkempen.
Kesempatan tersebut juga dimanfaatkan sebaiknya untuk beliau mendengar sendiri perkembangan dan gerak kerja sepanjang PRK.
“Pertemuan yang singkat tetapi cukup bermakna ini menjadi ruang untuk saya bertanya khabar, mendengar sendiri perkembangan serta gerak kerja Wanita UMNO Sabah yang begitu komited membantu sepanjang PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
“Saya amat menghargai semangat kebersamaan, keikhlasan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh barisan Wanita, yang sentiasa berada di hadapan dalam mendekati rakyat dan memperkukuh kekuatan parti di peringkat akar umbi. Perbincangan kami disulami dengan perkongsian cabaran, pengalaman di lapangan serta harapan agar perjuangan ini terus diperkasakan.
“Menitipkan doa agar seluruh kepimpinan dan jentera Wanita UMNO Sabah sentiasa diberikan kekuatan, kesihatan dan istiqamah dalam meneruskan amanah perjuangan. Semoga segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan diberkati serta membuahkan hasil yang baik demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Noraini dalam pada itu turut sama hadir ke Program Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Santuni Rakyat yang berlangsung di Dataran Kinabatangan, Lamag, Sabah.
Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan kesinambungan kepada usaha berterusan yang telah lama digerakkan di kawasan ini, melibatkan KKDW bersama agensi-agensi seperti FELCRA, RISDA dan MARA.
“Bantuan kebajikan, sokongan pendidikan dan keusahawanan, serta bimbingan kepada para pekebun kecil disampaikan secara langsung kepada rakyat.
“Saya yakin, sinergi kukuh antara agensi dan kepimpinan ini akan terus memastikan masyarakat luar bandar, khususnya di Kinabatangan, tidak tercicir daripada arus pembangunan perdana.
“Insya-Allah, segala usaha ini akan terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat hari ini dan masa hadapan,” ujar beliau.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib. – UMNO Online
