Onn Hafiz Hargai Tol Percuma, Jejambat Bestari Perdana RM70 Juta Dirasmikan

JOHOR BAHRU, 23 Jan – Kerajaan Persekutuan mengumumkan pemberian tol percuma di Plaza Tol Bestari Perdana bermula hari ini sehingga Hari Raya Aidilfitri, bersempena Majlis Perasmian Jejambat Bestari Perdana di Lebuhraya Senai–Desaru (SDE).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merakamkan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi atas pengumuman tersebut yang disifatkan sebagai langkah prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya pengguna lebuh raya menjelang musim perayaan.

“Pengumuman pemberian tol percuma ini jelas mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam meringankan beban rakyat, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Menurut beliau, perasmian Jejambat Bestari Perdana merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh jaringan perhubungan serta melancarkan aliran trafik di Lebuhraya Senai–Desaru.

“Projek ini bukan sahaja menamatkan status terbengkalai sejak 2021, malah berjaya disiapkan demi manfaat rakyat dan pembangunan infrastruktur Johor secara menyeluruh,” katanya lagi.

Jejambat Bestari Perdana yang menelan kos RM70 juta merupakan sebahagian daripada projek Pasir Gudang Connector (PGC) sepanjang kira-kira 5.1 kilometer, yang menghubungkan laluan utama SDE secara terus ke Jalan Kong Kong dan Tanjung Langsat.

“Dengan siapnya projek ini, ia dapat meningkatkan kebolehcapaian serta memendekkan masa perjalanan penduduk di kawasan Kota Masai, Pasir Gudang dan sekitarnya,” jelas beliau.

Ujarnya, Plaza Tol Bestari Perdana dilengkapi dengan dua lorong RFID dan dua lorong Touch ‘n Go bagi memastikan aliran trafik lebih lancar serta menyokong transaksi tanpa tunai yang cekap.

Dalam majlis sama, peruntukan keseluruhan sebanyak RM117 juta turut diumumkan bagi pelaksanaan langkah-langkah tambahan untuk mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Senai–Desaru secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri Johor amat menghargai sokongan berterusan Kementerian Kerja Raya dan berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh demi menjamin kemudahan, kesejahteraan serta kepentingan Bangsa Johor,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO