Ahmad Zahid Santuni Rakyat Desa Kinabatangan, Teruskan Legasi Pembangunan Luar Bandar
KINABATANGAN, 23 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meneruskan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyantuni masyarakat desa menerusi Program Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Santuni Rakyat yang berlangsung di Dataran Pekan Kota Kinabatangan, di sini.
Beliau yang juga Penegerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO tiba dari Kuamut berkata, kunjungan ke Kinabatangan membangkitkan pelbagai kenangan, khususnya mengenang jasa dan bakti Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang sekian lama berkhidmat untuk rakyat di kawasan Kinabatangan dan Lamag.

Menurut beliau, banyak inisiatif pembangunan yang dilaksanakan hari ini berakar daripada pemikiran jauh Allahyarham yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat serta memastikan suara masyarakat setempat terus dibela dan didengari.
“Pendekatan turun ke lapangan dan menyampaikan bantuan secara langsung kepada rakyat merupakan keutamaan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat desa benar-benar terpelihara,” katanya.
Ujarnya, program KKDW Santuni Rakyat, katanya, merupakan kesinambungan usaha berterusan yang melibatkan pelbagai agensi di bawah KKDW seperti FELCRA, RISDA dan MARA, yang menyediakan bantuan kebajikan, pendidikan, keusahawanan serta sokongan kepada pekebun kecil.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan agenda memakmurkan Kinabatangan dapat diteruskan secara berkesan demi masa depan rakyat yang lebih sejahtera. – UMNO Online
