Komitmen Berterusan, Mohd Zaidy Manfaatkan Penyerahan BAP Santuni Rakyat

JEMPOL, 22 Jan – ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, terus menzahirkan komitmen beliau terhadap rakyat melalui program-program kemasyarakatan yang bukan sahaja meringankan beban mereka, malah memberi perhatian khusus kepada keperluan seharian rakyat.

Dalam hal ini, beliau memanfaatkan agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan turun padang bagi menyampaikan sendiri penyerahan terbabit kepada para pelajar, selain memberi ruang kepadanya untuk menyantuni para ibu bapa di sekolah-sekolah sekitar kawasan terbabit.

“Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar dan menjadi dorongan untuk mereka terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik serta sahsiah,” katanya.

Antara program yang disempurnakan beliau ialah majlis penyampaian BAP kepada beberapa sekolah, termasuk di SJKT Dato’ K. Pathmanaban, yang melibatkan seramai 56 pelajar menerima bantuan sebanyak RM150 seorang, membabitkan peruntukan keseluruhan RM8,400.

Sementara itu, di SK Felda Palong 1, seramai 159 pelajar menerima bantuan dengan jumlah peruntukan RM23,850, manakala di SJKT St. Heliar, seramai 156 pelajar menerima bantuan yang sama, melibatkan peruntukan RM23,400.

Ujar Mohd Zaidy, bantuan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa serta memastikan keperluan persekolahan anak-anak dapat dipenuhi sepenuhnya pada awal sesi akademik.

Dalam perkembangan lain, beliau juga mengambil kesempatan mengadakan Ziarah Kasih kepada Norzee Aziz yang sedang menghadapi masalah kesihatan di kediamannya di Pekan Jelai, Bahau.

Dalam kunjungan tersebut, Datuk Mohd Zaidy menyampaikan bakul makanan, bantuan kewangan, serta bantuan kerusi roda sumbangan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Md Deli, bagi memudahkan mobiliti dan menyokong kesejahteraan Norzee.

“Semoga segala bantuan yang disampaikan ini dapat memberi sedikit kelegaan serta manfaat, di samping mendoakan agar Puan Norzee dikurniakan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Selari dengan itu, beliau mengucapkan terima kasih dan menghargai usaha serta kerjasama semua pihak dalam memastikan tiada rakyat terpinggir dan keperluan rakyat sentiasa diberi perhatian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO