Rakyat Dipelawa Sertai Kajian Had Jawatan PM – Azalina
KUALA LUMPUR, 22 Jan – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyeru penglibatan orang ramai dalam kajian pendapat awam bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan pengehadannya tempoh jawatan Perdana Menteri.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata ini kerana kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan kestabilan institusi negara selaras dengan Agenda Reformasi Institusi Kerajaan MADANI.
“Cadangan ini melibatkan pertimbangan penetapan had maksimum jawatan Perdana Menteri, sama ada berdasarkan bilangan penggal atau jumlah tahun maksimum.
“Antara perkara yang dikaji termasuk cara pengiraan tempoh perkhidmatan, kesan terhadap kesinambungan pentadbiran, serta pemeliharaan peranan dan kuasa institusi Raja Berperlembagaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Azalina memaklumkan kajian pendapat awam ini akan dijalankan dari 21 hingga 28 Januari 2026 bertujuan mendapatkan pandangan pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen, penjawat awam, masyarakat sivil, dan orang awam.
Menurut beliau ia bagi membantu Kerajaan membuat keputusan dasar yang seimbang, berasaskan bukti, dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya lagi, segala maklum balas yang diterima akan digunakan sebagai input pertimbangan dasar dan tidak bermakna sebarang keputusan telah dimuktamadkan. – UMNO Online
