Utamakan Pendidikan Anak-anak Jasin… Dr Akmal Ringankan Beban Kewangan Ibu Bapa

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh menzahirkan komitmen membantu ibu bapa yang berhadapan kekangan kewangan menyedia melengkapan keperluan persekolahan anak-anak mereka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata inisiatif tersebut lahir daripada keprihatinan terhadap realiti kehidupan dihadapi segelintir ibu bapa yang masih bergelut menyediakan buku serta melunaskan yuran persekolahan anak-anak mereka.

“Susah kita kadang-kadang orang tidak tahu. Kepada sesiapa warga DUN Merlimau ataupun warga Jasin yang anak-anaknya masih lagi belum beli buku sekolah atau yuran sekolah, tolong maklum kepada saya untuk saya kongsi rezeki

“Saya nak infakkan gaji saya bulan ini untuk belikan buku anak-anak dan yuran sekolah supaya anak-anak kita dapat belajar sama dengan anak orang lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Dr Akmal, beliau terpanggil untuk berkongsi rezeki apabila menyedari masih terdapat anak-anak di kawasannya yang berdepan kesukaran untuk ke sekolah akibat kekangan kewangan keluarga.

“Tidak tergamak saya ambil gaji ketika ada anak-anak di bawah jagaan saya tidak mampu ke sekolah dengan baik.

“Kita kongsi rezeki dan kasih sayang bersama,” ujar beliau.

Sementara itu menerusi satu perkongsian video beliau turut menyantuni seorang bapa dari Bemban yang memohon bantuan membeli buku dan yuran persekolahan.

Dr Akmal kemudiannya menyatakan komitmen membantu kelengkapan persekolahan anak-anak berkenaan sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib keluarga tersebut, selain memastikan proses pembelajaran mereka dapat diteruskan tanpa halangan kewangan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO