Eksploitasi Agama Terus Cengkam Politik Kedah, Autonomi Jadi Keperluan Mendesak
KUALA LUMPUR, 21 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menegaskan bahawa UMNO Kedah mempunyai kekuatan, jentera dan legitimasi sendiri untuk menentukan haluan politik negeri ini.
Ketua Penerangannya, Mohd Safwan Jaafar berkata sebarang kerjasama hanya wajar dipertimbangkan jika ia setara, berprinsip dan menguntungkan rakyat Kedah dan bukan kerana tekanan, angka atau keperluan pihak lain.
“Pemuda UMNO Kedah berdiri teguh dan sebulat suara menyokong keperluan memberi autonomi penuh kepada kepimpinan UMNO Kedah untuk menentukan hala tuju dan strategi politik negeri ini.
“Ini bukan isu emosi, bukan soal merajuk dan bukan cubaan mencabar mana-mana pihak.
“Sebaliknya adalah tuntutan strategik berasaskan realiti politik Kedah yang sebenar serta realiti yang ditanggung oleh jentera negeri, akar umbi dan Pemuda di lapangan, bukan oleh mereka yang selesa membuat analisis dari jauh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut beliau, Pemuda UMNO Kedah berada di barisan hadapan menghadapi beberapa isu utama yang membelenggu sentimen politik di negeri tersebut termasuk dominasi Pas yang memanipulasi sentimen agama.
Antara isu lain ialah naratif moral yang bersifat kosong, gagal menyelesaikan masalah rakyat, serta kerangka kerjasama yang lebih menguntungkan pihak lain sehingga meninggalkan UMNO menanggung kos politik.
“Dalam konteks ini, Pemuda UMNO Kedah juga menegaskan bahawa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Kedah telah gagal memberikan kelebihan politik yang nyata kepada UMNO. PH Kedah terus bergerak dalam zon selesa sendiri, gagal membina hubungan setara, dan menganggap sokongan UMNO sebagai sesuatu yang boleh diambil mudah.
“Pemuda UMNO Kedah menolak sekeras-kerasnya sebarang pendekatan yang meletakkan UMNO sebagai pelengkap, penampung risiko atau sekadar angka dalam susunan politik pihak lain.
“Autonomi adalah keperluan mendesak. Tanpa autonomi, UMNO Kedah dipaksa berdepan pilihan raya dengan tangan terikat, naratif kabur dan strategi yang tidak berpaksikan realiti pengundi Kedah,” ujar beliau. – UMNO Online
