​PAU 2025: UMNO Sri Gading Tekad Perkasa Perpaduan, Fokus Menangi Hati Rakyat — Najib

​KUALA LUMPUR 19 Jan –  Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri menyeru seluruh jentera parti di peringkat akar umbi agar segera menterjemahkan amanat Ucapan Dasar Presiden kepada gerak kerja nyata bagi memastikan UMNO kekal relevan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

​Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani menegaskan bahawa PAU 2025 kali ini membawa mesej yang jelas mengenai kematangan parti dan keperluan untuk beradaptasi dengan landskap politik yang semakin dinamik.

“Presiden telah menggariskan hala tuju yang sangat jelas melalui konsep ‘Rumah Bangsa’. Di peringkat Sri Gading dan Parit Yaani, kita akan memastikan aspirasi ini sampai ke setiap lokaliti. Fokus utama kita adalah memperkukuh kesatuan dalaman dan berhenti membuang tenaga dengan melemahkan rakan sepasukan sendiri,” katanya ketika ditemui selepas sesi Ucapan Dasar Presiden di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penekanan Presiden terhadap penguasaan teknologi, Datuk Najib menyatakan bahawa UMNO Sri Gading komited untuk memperluas jangkauan digital mereka bagi menyantuni pengundi di bawah usia 40 tahun yang kini membentuk 60 peratus daripada jumlah pemilih.

​”Kita tidak boleh lagi bekerja mengikut cara lama. Penggunaan teknologi AI dan media digital bukan lagi pilihan, tetapi satu kemestian. Puteri dan Pemuda di peringkat bahagian perlu menjadi barisan hadapan dalam menangkis persepsi negatif dan menyebarkan fakta mengenai khidmat bakti UMNO di ruang digital,” tambahnya.

​Menurut beliau, sebagai pemimpin di negeri Johor yang mengamalkan semangat ‘Bangsa Johor’, saranan Presiden agar UMNO mendapatkan sokongan daripada semua kumpulan etnik adalah sangat tepat.

​”Untuk kita memimpin kerajaan yang stabil, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan, kita memerlukan dokongan masyarakat berbilang kaum. Di Parit Yaani, kita akan terus memastikan khidmat bakti diberikan secara adil tanpa mengira latar belakang, kerana inilah kunci kekuatan Kerajaan Perpaduan yang kita terajui bersama.” tambahnya.- UMNO Online​

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO