Pembentukan Sekretariat Digital UMNO Dan FAQ

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Penerangan UMNO Malaysia ingin menjelaskan secara ringkas dan mudah berhubung cadangan penubuhan SEKRETARIAT DIGITAL UMNO seperti dikemukakan oleh YB Ketua Penerangan UMNO Malaysia semasa Simposium Penerangan UMNO Malaysia ”Politik Era Digital”.

Penubuhan Sekretariat Digital ini adalah selari dengan keperluan politik semasa yang semakin beralih ke ruang digital, serta keperluan untuk memperkukuh penyelarasan naratif dan operasi komunikasi parti secara lebih tersusun dan berterusan.

Cadangan ini bukanlah satu idea bersifat ad hoc atau reaksi sementara, sebaliknya lahir daripada perbincangan menyeluruh mengenai realiti politik semasa yang telah berubah secara ketara. Politik hari ini tidak lagi terbatas kepada ceramah, sidang media atau medan fizikal semata-mata, sebaliknya berlangsung 24 jam sehari di ruang digital iaitu di media sosial, aplikasi mesej, platform video dan ekosistem maklumat atas talian.

Seiring dengan perubahan ini, UMNO berdepan cabaran kawalan naratif, penyelarasan mesej dan keperluan untuk bertindak pantas dalam menghadapi fitnah, maklumat palsu serta peperangan persepsi yang semakin agresif. Justeru, penubuhan Sekretariat Digital dicadangkan sebagai satu langkah institusional bagi memperkukuh keupayaan komunikasi parti secara tersusun, berpusat dan berterusan, selari dengan struktur serta disiplin organisasi parti.

Cadangan Sekretariat Digital ini juga bertujuan memastikan kekuatan digital UMNO tidak lagi bergantung kepada usaha individu atau gerak kerja bermusim, tetapi dibangunkan sebagai satu keupayaan strategik parti yang menyokong Penerangan, Sekretariat-Sekretariat parti serta jentera di semua peringkat.

Sehubungan itu, berikut adalah Soalan Lazim (FAQ) berhubung Cadangan Penubuhan Sekretariat Digital UMNO bagi memberi kefahaman yang jelas kepada ahli, akar umbi dan semua pihak berkepentingan.

SOALAN LAZIM (FAQ)
CADANGAN PENUBUHAN SEKRETARIAT DIGITAL UMNO

1. APA ITU SEKRETARIAT DIGITAL UMNO?

• Sekretariat Digital UMNO ialah unit khas parti yang mengurus operasi politik digital. Ia merangkumi pemantauan sentimen rakyat, kawalan naratif, analisis data, media sosial dan pengurusan maklumat. Sekretariat Digital beroperasi sepanjang masa, bukan hanya ketika musim pilihan raya.

2. MENGAPA DINAMAKAN “SEKRETARIAT”?

• Istilah “Sekretariat” digunakan supaya struktur ini dilihat rasmi dan jelas serta boleh direplikasi secara seragam di setiap peringkat; Badan Perhubungan Negeri, Bahagian, Cawangan termasuk di peringkat Sekretariat Pemuda, Puteri dan Wanita mengikut keperluan masing-masing.

3. MENGAPAKAH SEKRETARIAT DIGITAL DILETAKKAN DI BAWAH PEJABAT PRESIDEN UMNO

• Di peringkat pusat, Sekretariat Digital diletakkan di bawah Pejabat Presiden UMNO bagi memastikan terdapat pelaporan, pengarahan dan punca kuasa yang jelas, pemusatan penyelarasan naratif dan mesej serta mengelakkan percanggahan naratif antara negeri-negeri, Sekretariat dan bahagian.

• Pejabat Presiden UMNO akan bertindak sebagai Watchtower (Menara Tinjau) yang akan memantau aktiviti digital di peringkat negeri, Sekretariat, bahagian serta cawangan bagi memastikan gerak kerja yang bersasar.

4. ADAKAH SEKRETARIAT DIGITAL SEKADAR BUAT POSTER DAN VIDEO?

• Tidak. Sekretariat Digital bukan pasukan kreatif atau menghasilkan kandungan semata-mata. Ia ialah jentera strategi dan operasi politik digital.

5. ADAKAH SEKRETARIAT DIGITAL MENGAMBIL ALIH PERANAN PENERANGAN?

• Tidak. Sekretariat Digital diwujudkan bagi memperkasa struktur UMNO termasuk Penerangan UMNO, bukan menggantikannya.

• Ketua Penerangan di peringkat negeri dan bahagian adalah lantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua Bahagian masingmasing.

• Ketua Penerangan Negeri dan Bahagian menjalankan tugas politik dan propaganda dan masih bertanggungjawab untuk menyusun dan menjalankan aktiviti dan program negeri dan bahagian.

• Tugas Sekretariat Digital lebih berbentuk teknikal dan kemahiran digital bukannya bersifat politikal.

6. APAKAH PERANAN SEKRETARIAT DIGITAL UMNO?

• Sekretariat Digital UMNO berperanan sebagai pusat penyelarasan komunikasi dan operasi digital parti yang:
i. Melatih jentera parti di peringkat cawangan dan bahagian bagi meningkatkan keupayaan komunikasi politik digital serta kefahaman terhadap penggunaan media dan platform digital secara berkesan.
ii. Memantau sentimen rakyat secara berterusan bagi mengenal pasti isu, kebimbangan dan kecenderungan pengundi berdasarkan data dan maklum balas semasa.
iii. Membina, menyelaras dan mengawal naratif parti agar mesej UMNO konsisten, berfakta dan selari di semua peringkat serta platform komunikasi.
iv. Menyediakan panduan mesej, kerangka hujah dan bahan sokongan komunikasi kepada jentera bagi memastikan penyampaian mesej yang jelas dan berdisiplin.
v. Membantu meningkatkan keterlihatan UMNO di media sosial serta memperkukuh sentimen positif rakyat terhadap parti melalui komunikasi yang tersusun dan berterusan.
vi. Menyokong kempen digital semasa pilihan raya, termasuk persediaan komunikasi dan pengurusan media bagi menghadapi serangan persepsi, fitnah dan maklumat palsu.
vii. Menangkis maklumat palsu dan fitnah melalui penjelasan yang sahih, serta membina komunikasi dua hala yang lebih matang antara parti dan rakyat.
viii. Melahirkan Aktivis Digital UMNO dalam kalangan ahli cawangan sebagai benteng kesahihan maklumat dan penyampai mesej parti yang berintegriti di peringkat akar umbi.
ix. Membangunkan dan mengoperasikan AI Chatbot UMNO dengan kerjasama Sekolah Patriotik UMNO (SPU) untuk berinteraksi dengan rakyat 24 jam sehari bagi menjawab persoalan berkaitan parti.
x. Membangunkan aplikasi dalaman Digital UMNO bagi mengurus keahlian, program dan aktiviti serta mempercepatkan penyampaian maklumat secara tepat dan tuntas.

7. ADAKAH SEKRETARIAT DIGITAL AKAN MENGAWAL ATAU MENGARAH AKAR UMBI?

• Tidak. Naratif dan panduan mesej yang disampaikan adalah sebagai panduan umum. Ia memerlukan penyesuaian di peringkat Bahagian dan Cawangan dan cara penyampaian juga perlu disesuaikan dengan realiti semasa di lapangan.

8. BAGAIMANAKAH LATIHAN AKAN DIJALANKAN OLEH SEKRETARIAT DIGITAL UMNO?

• Latihan akan dilaksanakan oleh Sekolah Digital UMNO melalui modul-modul komprehensif di bawah kelolaan Sekretariat Digital UMNO yang merangkumi analisis sentimen rakyat, pembinaan dan penyelarasan naratif parti, kemahiran teknikal penggunaan platform media digital, serta persediaan komunikasi dan pengurusan media semasa menghadapi pilihan raya. Program ini menumpukan kepada kemahiran praktikal yang boleh terus diaplikasikan oleh ahli akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian, selari dengan keperluan gerak kerja politik semasa.

Dikeluarkan oleh:
Penerangan UMNO Malaysia

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO