Demi Kesejahteraan Rakyat, Perlis Dan Kelantan Perlukan Pertumbuhan Ekonomi Yang Mampan

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Wakil Pembahas Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perlis, Nor Siti Hajar Razali menegaskan bahawa ekonomi Negeri Perlis mesti dibina berteraskan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar pertumbuhan angka.

Jelasnya, ekonomi yang mampan ialah ekonomi yang meringankan beban hidup rakyat, menyediakan masa depan yang jelas kepada anak muda dan membangunkan bandar serta luar bandar secara seimbang.

“Jurang pembangunan ekonomi antara bandar dan luar bandar di Negeri Perlis yang masih ketara. Akses kepada infrastruktur, internet berkualiti dan peluang ekonomi di luar bandar perlu dipertingkatkan secara menyeluruh. Sedangkan Perlis mempunyai potensi besar dalam pertanian moden, agropreneur muda dan ekonomi desa.

“Apa yang diperlukan ialah nafas baharu melalui penggunaan teknologi, sokongan pembiayaan, latihan dan rantaian pemasaran yang lebih adil supaya hasil usaha rakyat luar bandar benar-benar memberi pulangan yang setimpal.

“Pembangunan ekonomi tidak boleh tertumpu di bandar semata-mata. Luar bandar yang kukuh akan melahirkan negeri yang lebih seimbang dan berdaya tahan,” katanya ketika membahas di sempena Persidangan Puteri UMNO di World Trade Centre (WTC).

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shafie Abdullah; Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Seri Ahmad Ismail serta perwakilan Puteri UMNO.

Sementara itu bagi pembahas dari Negeri Kelantan, Engku Juliani Engku Mokhtar berkata di negeri itu kaya dengan nilai dan warisan, tetapi dalam ekonomi moden, isu peluang pekerjaan bernilai tinggi masih terhad.

Katanya, ramai anak muda Kelantan berhijrah ke kota besar, manakala wanita muda berbakat pula terperangkap dalam pekerjaan yang bergaji rendah.

“Antara perkara yang sangat mengecewakan, ialah, ramai di antara graduan universiti apabila pulang ke kampung, mereka seolah-olah tiada hala tuju yang jelas kerana keadaan semasa dan peluang untuk memajukan negeri Kelantan amat kurang.

“Ini kerana ekosistem peluang pekerjaan belum selari dengan ekonomi kerajaan pusat. Padahal, zaman sudah berubah, tetapi peta yang digunakan masih peta lama, dan dalam perubahan besar ini, golongan yang paling terkesan ialah wanita muda.

“Wanita muda bukan lagi kumpulan sokongan ekonomi malah mereka sebenarnya adalah ejen pertumbuhan ekonomi negeri, dengan inisiatif Kerajaan Persekutuan telah memulakan beberapa langkah penting melalui revolusi TVET, meluaskan bidang automasi, data, rangkaian digital dan AI,” ujarnya.

Ujarnya, semua usaha ini hanya akan lebih bermakna jika perlaksanaannya dan limpahan kesan kebaikannya sampai ke peringkat negeri dan akar umbi di bawah, terutama kepada wanita muda di Kelantan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO