Henti Budaya Mencipta Cerita, Fokus Kukuhkan Saf Kepimpinan – Hairi

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah, menggesa seluruh akar umbi sayap itu untuk menghentikan budaya mencipta cerita dan permainan persepsi yang boleh memecah-belahkan parti.

​Beliau menegaskan bahawa sebagai sayap perjuangan, tugas utama Pemuda adalah menyokong, menguatkan, dan mempertahankan kepimpinan sedia ada demi memastikan kelangsungan bahtera UMNO.

 

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Dewan Merdeka petang tadi, beliau mengingatkan perwakilan agar tidak lagi terbuai dengan nostalgia kekuatan lama, sebaliknya perlu realistik dengan cabaran politik semasa.

​”Sama ada kita terus bernostalgia dengan kekuatan lama, ataupun kita kena realistik dengan realiti semasa hari ini. Masa mencemburui kita, kita tidak boleh pilih kedua-duanya dan kita tidak boleh tangguh pilihan ini,” katanya.

​Mengambil analogi sebuah pesawat, Hairi menjelaskan bahawa keharmonian antara sayap dan nakhoda adalah kunci utama untuk sampai ke destinasi.

​”Bayangkan sebuah kapal terbang. Jika satu sayap patah atau terbang tidak selaras, kapal terbang itu akan hilang keseimbangan dan akhirnya menjatuhkan semua yang berada di dalamnya. Begitulah Pemuda; jika kita tidak seiring dengan kepimpinan, yang rugi bukan individu, tetapi parti,” tegas beliau lagi.

​Beliau turut menyeru barisan kepimpinan Pemuda di peringkat Bahagian untuk turun ke padang dan mendekati badan bukan kerajaan (NGO) bagi membina naratif baharu yang mampu menarik minat golongan muda.

​”Tanya selera kita, adakah kita di peringkat Bahagian sudah bertemu NGO? Kita perlu dapatkan dapatan mereka untuk membina manifesto orang muda bagi meyakinkan rakyat bahawa perjuangan Melayu ini hanya terletak di bahu kepimpinan UMNO,” ujarnya mengakhiri penggulungan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO