Wanita Diseru Kukuhkan Pembangunan Kepimpinan, Laksana Secara Sistematik

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor, Haslinda Salleh berpandangan meskipun pencapaian wanita dalam pelbagai bidang semakin meyakinkan namun penglibatan mereka dalam struktur pembuat keputusan masih perlu diperkasa.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis berkata memperluaskan peranan wanita dalam kepimpinan bukan sahaja penting tetapi juga bagi memastikan keputusan yang diambil lebih inklusif dan berimpak kepada semua lapisan masyarakat.

“Di sebalik prestasi yang meyakinkan wanita, kita harus berlapang dada dan mengakui bahawa wakil wanita dalam struktur pembuat keputusan masih belum mencerminkan potensi sebenar wanita.

“Keupayaan telah terbukti, namun ruang kepimpinan masih perlu diperluaskan.” katanya.

Haslinda berkata demikian sebagai pembahas bagi Ucapan Dasar Ketua Wanita sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Bercakap dalam konteks parti, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa masa depan UMNO akan menjadi lebih kukuh sekiranya pembangunan kepimpinan wanita dilaksanakan secara sistematik dan berterusan.

Menurut beliau program pemantapan kepimpinan khusus untuk pemimpin wanita perlu dirangka bukan sekadar sebagai latihan, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang parti yang merangkumi pembinaan pemikiran strategik, keupayaan komunikasi dasar, pengurusan krisis, serta kebolehan membuat keputusan dalam situasi yang kompleks.

“Seiring dengan itu, Wanita Johor menekankan kepentingan program pengkaderan calon wanita secara terancang, bermula dari peringkat cawangan dan bahagian. Kita tidak boleh menunggu krisis kepimpinan atau kekosongan calon untuk mencari wanita yang layak.

“Kita mesti membina pelapis lebih awal, membimbing mereka dengan ilmu, pengalaman dan nilai perjuangan parti,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO