PAU 2025: Perjuangan Wanita UMNO Daripada Pendidikan Hingga Kuota 30 Peratus Calon – Noraini

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan bahawa sistem pendidikan merupakan simbol penyatuan rakyat.

Rentetan itu beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diperjuangkan oleh segelintir pihak perlu dinilai secara lebih rasional dan seiring dengan dasar pendidikan negara serta kepentingan perpaduan nasional.

“Sebenarnya UEC ini lama sudah dilontarkan daripada zaman Barisan Nasional sehingga hari ini. Hakikatnya sistem pendidikan ini sebenarnya menjadi medan untuk menyatukan rakyat, negara ini sudah elok mempunyai kepelbagaian bangsa.

“Wanita UMNO tidak pernah lari daripada menjunjung dasar pendidikan negara sebab itu sekiranya mereka jujur dengan tuntutan itu dan bertoleransi, yang penting mereka ikut sistem pendidikan yang sedia ada.

“Apabila kita hormat sistem masukkan Bahasa Melayu, ajar mengenai sejarah Malaysia dan kita minta supaya wujudkan semula alat penilaian awal yang adil, sistematik dan menyeluruh untuk mengenal pasti kelemahan kanak-kanak sejak daripada peringkat awal usia,” katanya.

Noraini berkata demikian ketika penggulungan Perhimpunan Wanita UMNO yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini di sini.

Mengulas lanjut, beliau turut sama menyentuh berkenaan 30 peratus kuota calon wanita yang dibangkitkan pembahas.

Namun katanya, perjuangan itu bukan hanya meliputi dalam aspek pemilihan calon pilihan raya sebaliknya turut merangkumi penglibatan wanita dalam sektor pentadbiran, korporat bagi memastikan peranan mereka lebih menyeluruh dan berimpak.

“Saya tengok rami pembahas bercakap tentang 30 peratus calon wanita ini… sebenarnya sudah lama isu ini dibawa, bukan baharu sahaja.

“Namun ia bukan hanya dalam kalangan wakil rakyat, malah jawatan di syarikat tersenarai awam, ketua kampung serta Ketua Setiausaha (KSU) kini turut disandang oleh wanita.

“Parti lain sudah ada tentang pemerkasaan wanita dalam perlembagaan parti mereka tetapi kita sebagai parti pemerintah selama ini, yang membuat dasar sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita namun, kita juga yang belum melaksanakannya,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO