KULN Bertekad Aktifkan Semula, Tambah Cawangan Perkukuh UMNO

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Kelab UMNO Luar Negara (KULN) bertekad untuk mengaktifkan semula dan menambah bilangan cawangan di pelbagai negara sebagai usaha memperkukuh peranan UMNO di peringkat antarabangsa, kata Pengerusinya, Datuk Mohamad Alamin.

Menurut beliau, pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menyaksikan cabaran besar apabila banyak KULN terpaksa ditutup atau tidak aktif, namun usaha pemulihan secara berperingkat telah membuahkan hasil.

“Selepas PRU ke-15, hanya 12 cawangan yang aktif, namun sehingga hari ini kita telah berjaya mengaktifkan sebanyak 22 cawangan merentasi sepuluh buah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertemuan Presiden UMNO Bersama Kelab UMNO Luar Negara dan Pelancaran Logo Baharu Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Mohamad yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata keputusan kepimpinan parti untuk mengembalikan penggunaan nama Kelab UMNO Luar Negara sepenuhnya menggantikan Badan Perhubungan Negara (BPN) merupakan langkah penting dalam mengangkat semula jenama UMNO di luar negara.

“Atas arahan dan persetujuan pimpinan, mulai hari ini kita kembali menggunakan nama Kelab UMNO Luar Negara. Inilah masanya untuk kita angkat semula jenama UMNO di luar negara,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa antara cawangan yang terbaharu diaktifkan semula ialah di Rusia dan Jordan, selain perancangan untuk mengaktifkan semula cawangan di New Zealand serta pembukaan cawangan baharu di China.

“Insya-Allah beberapa lagi cawangan yang telah dikenal pasti akan diaktifkan semula dalam masa terdekat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran Program Eksekutif Apprentice yang disifatkan sebagai platform penting dalam melahirkan barisan pelapis kepimpinan UMNO.

“Seramai 300 peserta telah diagihkan kepada 22 pimpinan sebagai anak angkat. Program ini memberi pengalaman bermakna kepada peserta dan insya-Allah akan diperluaskan lagi ke lebih banyak negara,” katanya.

Tambah beliau, antara pencapaian utama program tersebut ialah kelulusan sumbangan termasuk elaun premium kepada semua peserta yang menurutnya merupakan satu pendekatan baharu dan belum pernah dilaksanakan sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pelancaran logo baharu Kelab UMNO Luar Negara menjadi simbol kebangkitan dan tekad baharu untuk memperkukuh jaringan UMNO di luar negara.

“Kita mesti bekerja keras, menanam tekad dan bersama-sama mengangkat martabat UMNO Luar Negara,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO