Pendigitalan Medium Penting Peroleh Suara Mahasiswa Dalam Dan Luar Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap usaha pendigitalan dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medium utama untuk memperoleh dan mengangkat suara mahasiswa sama ada di dalam mahupun luar negara agar dapat disalurkan terus kepada kepimpinan parti.

Menurut beliau, hubungan antara mahasiswa, ahli-ahli UMNO dan kepimpinan perlu diperkukuhkan melalui penggunaan platform digital selari dengan perkembangan semasa serta perubahan landskap politik negara.

“Hubungan kita sesama kita, hubungan dengan keseluruhan ahli UMNO dan juga kepimpinan perlu dibuat melalui media yang boleh digunakan oleh saudara-saudari. Kita mahu suara mahasiswa dalam negara dan luar negara dapat didengar dan diikuti oleh seluruh ahli UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pertemuan Bersama Kelab UMNO Luar Negara, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh berkenaan penjenamaan semula Kelab UMNO Luar Negara yang disifatkan sebagai satu langkah penting dalam membuka era baharu gerakan mahasiswa, khususnya di peringkat antarabangsa serta institusi pengajian tinggi tempatan.

“Kita jangan takut dan jangan khuatir menggunakan nama Kelab UMNO di luar negara. Apabila jenama ini dikembalikan semula, ia membawa makna satu era baharu untuk pelajar-pelajar kita di luar negara, IPTA dan IPTS untuk bergerak sederap dengan kepimpinan pusat,” ujarnya.

Tambah beliau, gerakan mahasiswa perlu bergerak seiring bersama Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri, Wanita dan Veteran UMNO untuk menggerakkan keseluruhan rangkaian parti di universiti-universiti luar negara serta institusi pengajian tinggi tempatan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pendigitalan bukan sekadar medium komunikasi dalaman, malah berperanan sebagai saluran strategik untuk menyampaikan pandangan dan aspirasi mahasiswa kepada kepimpinan parti secara lebih tersusun serta berkesan.

“Portal, peranti dan apa sahaja medium media sosial yang digunakan perlu menjadi saluran supaya suara mahasiswa dapat didengar, diikuti dan difahami oleh rakan-rakan serta keseluruhan ahli UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh perubahan persepsi pengundi muda susulan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun yang menurutnya menunjukkan trend peningkatan sokongan terhadap UMNO.

“Persepsi pengundi pertama kali dan pengundi muda terhadap UMNO telah berubah dan meningkat. Usaha ini mesti diteruskan kerana ia mampu menggamit lebih ramai sokongan, bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga kepada Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar langkah-langkah baharu ini dimulakan serta-merta tanpa sebarang penangguhan, dengan penglibatan aktif mahasiswa dalam dan luar negara sebagai penggerak utama.

“Langkah-langkah ini mesti dimulakan sekarang, bukan esok atau minggu hadapan. Ia perlu digerakkan bermula daripada perhimpunan agung ini,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO