Ab Rauf Hormati Keputusan Dr Akmal, Politik Menuntut Jiwa Besar

KUALA LUMPUR, 15 Jan — Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan penghormatan terhadap pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung hasrat beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka.

Menurut Ab Rauf, walaupun beliau menghormati pendirian dan semangat yang ditunjukkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, sebarang keputusan berkaitan pentadbiran negeri perlu dibuat secara bijak, matang dan berpaksikan kepentingan rakyat Melaka secara keseluruhan.

“Sebagai Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO serta Barisan Nasional Negeri Melaka, setiap keputusan besar memerlukan pertimbangan menyeluruh demi kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengiktiraf pendekatan Dr. Akmal yang disifatkan sebagai mencerminkan roh dan idealisme Pemuda UMNO yang lantang, berani serta penuh semangat perjuangan dalam menyuarakan pendirian.

Bagaimanapun, Ab Rauf menegaskan bahawa beliau masih menantikan surat rasmi peletakan jawatan daripada Dr. Akmal, dan menekankan bahawa penerimaan atau penolakan peletakan jawatan tersebut merupakan prerogatif mutlak Ketua Menteri, selaras dengan peruntukan undang-undang serta amanah yang diberikan oleh parti dan rakyat Melaka.

“Dalam politik, keputusan besar menuntut jiwa besar. Melaka akan terus melangkah ke hadapan,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan negeri Melaka akan terus berpandukan kebijaksanaan, keberanian dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat, demi memastikan kestabilan serta pembangunan negeri terus terpelihara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO