Pemuda UMNO Perak Tuntut Reformasi Lesen Nelayan, Laluan Hijau Belia Dan TVET Samudera

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Wakil Pemuda UMNO Perak, Muhammad Nabil Saleh menegaskan bahawa isu pewarisan lesen nelayan dan birokrasi yang membelenggu anak muda luar bandar perlu segera diselesaikan demi masa depan industri perikanan negara.

Nabil menegaskan bahawa dasar dan birokrasi sedia ada, khususnya melibatkan isu pewarisan lesen nelayan, telah menyebabkan ramai anak muda menjauh daripada laut walaupun ia adalah sumber rezeki tradisi keluarga mereka.

“Hari ini saya berdiri bukan hanya sebagai penyampai suara orang politik, tetapi sebagai pembawa resah anak watan luar bandar. Kita sering melaungkan soal sekuriti makanan dan kedaulatan negara. Namun di pesisir pantai sana, para pewaris samudera kita sedang terumbang-ambing tanpa nakhoda,” katanya.

“Isu paling pedih ialah ‘pewarisan lesen’. Bila si ayah yang uzur mahu menyerahkan kemudi kepada si anak, tembok birokrasi menghalang pindah milik. Lesen seolah-olah ‘mati’ bersama pemilik asal. Akhirnya, silsilah warisan laut kita terputus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan Persidangan Agung Pemuda UMNO 2025, di sini, hari ini.

Beliau turut menzahirkan kekecewaan terhadap fenomena ‘lesen tidur’ yang disalahgunakan dan disewakan kepada warga asing, sedangkan anak muda tempatan disekat dengan syarat yang ketat dan tidak munasabah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan tiga langkah konkrit:

i) Wujudkan Laluan Hijau Belia, iaitu pindah milik lesen secara automatik daripada warga emas kepada waris yang terbukti nelayan tulen.

ii) Laksanakan Pembersihan Lesen, dengan merampas semula lesen-lesen yang disalahgunakan dan mengagihkannya kepada anak muda yang benar-benar mahu berbakti.

iii) Perkenalkan Latihan TVET Samudera di jeti-jeti nelayan, bagi membolehkan generasi baharu mempelajari kemahiran teknikal seperti penyelenggaraan enjin, penggunaan GPS dan sonar, serta pemprosesan hasil laut bagi menambah nilai ekonomi.

“Berikanlah anak muda kita lesen untuk berbakti, bukan sekadar janji yang layu di kertas cadangan. Jangan tunggu sehingga laut kita ‘mati’ dan jeti-jeti kita sepi baru kita mahu terjaga. Apabila hilang nelayan jati, maka lenyaplah kedaulatan pertiwi,” tegas beliau.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO