Wanita Perak Saran Wujudkan Skim Bayaran Yuran Sekolah Untuk Anak-anak B40
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin menyeru supaya perhatian serius diberikan kepada keluarga B40 dengan memperkenalkan skim bayaran yuran sekolah bagi meringankan beban kewangan mereka.
Beliau mencadangkan konsep skim ini diuruskan serupa dengan bantuan PPRT dan program Rumah Mesra Rakyat, di mana golongan yang memerlukan akan menerima sokongan terus bagi memastikan anak-anak mereka tidak tercicir daripada pendidikan.
“Bantulah keluarga B40 wujudkan skim bayaran yuran sekolah. Konsepnya sama dengan bantuan skim PPRT dan Rumah Mesra Rakyat.
“Masih ada ramai anak anak kecil yang tercicir kerana keluarga susah dan ada masalah kewangan,” katanya.
Sri Rahayu berkata demikian sebagai pembahas bagi Ucapan Dasar Ketua Wanita sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggariskan beberapa cadangan dalam menambah baik sistem pendidikan sekolah yang merangkumi aspek akademik, kemahiran insaniah.
Menurut beliau, langkah penambahbaikan itu termasuk meningkatkan kualiti kandungan pembelajaran serta mewujudkan sistem kerjasama antara sekolah kerajaan dan sekolah swasta tempatan.
“Tingkatkan kualiti konten pembelajaran, wujudkan sistem sekolah rakan bersama sekolah swasta tempatan.
“Melalui kaedah ini mereka boleh melaksana program bersama-sama dan berkongsi ilmu, seterusnya membolehkan pelajar mendapat pendedahan yang lebih luas serta kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa,” ujarnya.

Mengulas lanjut Sri Rahayu turut mencadangkan agar standard literasi digital dibangunkan mengikut amalan terbaik seperti yang digunakan di Australia.
Katanya standard ini memberi panduan jelas tentang penggunaan teknologi secara seimbang, contohnya 30 peratus daripada waktu pembelajaran menggunakan peranti digital manakala 70 peratus lagi menerusi kaedah tradisional.
“Kukuhkan literasi digital dengan merangka standard seperti yang dipraktis di Australia. Standard ini memberi garis panduan dari segi menggunakan teknologi secara seimbang, iaitu 30 peratus menggunakan peranti digital, 70 peratus pembelajaran secara traditional.
“Dalam pada masa yang sama, guru dan ibu bapa, kekal sebagai rujukan utama anak-anak.
“Selain itu, standard ini mengajar kita macam mana nak guna peranti digital dengan betul perlu ada penapis kandungan, firewall, anti virus dan sebagainya,” ujar beliau. – UMNO Online
