Wanita Muda Perlu Diberi Peluang Dalam Pilihan Raya – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Pergerakan Puteri UMNO menegaskan, UMNO perlu memberi ruang kepada calon daripada kepimpinan Puteri dan Wanita untuk memenuhi kuota 30 peratus pada pilihan raya dengan menampilkan calon wanita muda.

Jelasnya, ini penting untuk memastikan suara dan bakat wanita muda yang menyertai Puteri UMNO diberi peluang yang sewajarnya dalam pentas politik dan menjadi suara wanita muda.

“Kuota 30 peratus penglibatan wanita muda mesti diterjemahkan kepada peluang yang sebenar, termasuk memilih calon daripada Puteri, khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor nanti.

“Dengan diberi ruang, kita bukan sahaja dapat memperkukuh kepimpinan parti, tetapi juga memastikan kesinambungan generasi muda yang berwibawa, berintegriti dan mampu membawa kembali kegemilangan UMNO.

“Pilihan Raya akan menjadi ujian sama ada penglibatan wanita muda ini menjadi realiti, atau masih sekadar janji. Puteri layak diberi peranan yang bermakna dan strategik dalam parti. Seiring dengan pemahaman digital, agar usul mesyuarat cawangan dapat diluluskan secara dalam talian, bagi memastikan suara semua anggota dihargai dan proses lebih efisyen,” katanya ketika ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Puteri UMNO, hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shafie Abdullah; Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Seri Ahmad Ismail serta perwakilan Puteri UMNO.

Tambah Nurul Amal, pelaksanaan pendekatan tersebut dilihat mampu memberi manfaat besar kepada ahli parti secara keseluruhan.

“Langkah ini bukan sahaja memudahkan kehadiran ahli, menjimatkan masa dan kos, serta memastikan mesyuarat boleh diteruskan tanpa gangguan lokasi atau jadual, lagi-lagi bagi ahli parti yang memang banyak komitmennya.”

Seterusnya kata Nurul Amal, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Wanita UMNO kerana mengusulkan had umur kepada 40 tahun.

“Puteri UMNO ingin menzahirkan rasa terima kasih buat kekanda Wanita UMNO kerana sudi memahami keadaan dan realiti yang sedang kami hadapi yang meminta usul 40 tahun. Ini bukan kerana kepentingan diri, tetapi demi kelangsungan dan kekuatan parti pada masa hadapan.

“Usul umur ini bukan untuk menolak sesiapa, bukan juga untuk meminggirkan pengalaman dan jasa, tetapi untuk membuka ruang agar peralihan generasi dapat berlaku secara teratur, adil dan berfasa,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO