Ikhlas Dalam Perjuangan, Bukan Berselindung Di Sebalik Slogan – Dr. Anil Sandhu

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Wakil Pemuda UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu, menegaskan bahawa Pemuda UMNO mesti menjadi barisan yang berani mendengar kritikan dan bertindak dengan keikhlasan, bukan sekadar berselindung di sebalik slogan dan nostalgia.

Katanya, rakyat Sabah tidak membenci UMNO atau Barisan Nasional (BN), tetapi menolak sikap angkuh dan pendekatan yang jauh daripada realiti kehidupan mereka.

“Penolakan terhadap parti nasional lahir daripada rasa tidak didengari dan rasa bahawa suara lokal semakin hilang dalam arus politik besar,” ujarnya ketika berucap pada Persidangan Agung Pemuda UMNO 2025, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa perjuangan bukan kerja bermusim, sebaliknya amanah sepanjang masa yang mesti dilaksanakan di tengah masyarakat ketika rakyat susah, anak muda mencari kerja, atau kampung dilanda banjir.

“Kita akan menang bukan kerana sejarah, tetapi kerana kita mula lebih awal, bekerja lebih keras dan merancang lebih bijak. Pemuda mesti menguasai medan digital dan memahami psikologi pengundi muda,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak itu.

Seterusnya, Dr. Anil menyeru Pemuda UMNO Sabah supaya terus bangkit dengan keikhlasan, kesatuan dan keberanian untuk berubah demi mengembalikan semangat perjuangan parti. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO