Puteri UMNO Tekankan Kualiti Calon, Tolak Tangkap Muat
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Wakil pembahas Puteri UMNO dari Negeri Sembilan, Nur Hidayah Abu Bakar mencadangkan calon-calon dari Puteri UMNO dapat diketengahkan pada Pilihan Negeri (PRN) Melaka dan Johor seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Ujarnya, calon-calon yang bakal diketengahkan harus mempunyai komitmen yang tinggi untuk parti dan bukannya sekadar tangkap muat.
“Puteri UMNO tidak mahu lagi satu atau pun dua kerusi untuk bertanding. Puteri UMNO mahu sekurang-kurangnya lima kerusi dari setiap negeri. Namun, calon-calon yang bakal diketengahkan harus menepati elemen yang tepat dan bukannya calon tangkap muat, mereka harus bersedia menjadi calon.
“Keberadaan mereka di sosial media mesti tinggi sama ada di TikTok, Instagram, Whatsapp dan segala saluran sosial media yang ada. Seterusnya, mereka harus punya ilmu dan mahir berkomunikasi dan punya impati yang tinggi.
“Elemen yang paling penting mereka ini perlu mendapat sokongan dan restu daripada keluarga parti untuk membawa kemenangan. Gunakan kekuatan dan kelebihan yang ada sebaik mungkin untuk mencapai kemenangan,” katanya ketika sesi perbahasan di Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di World Trade Centre (WTC).
Persidangan itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shafie Abdullah; Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta para perwakilan Puteri UMNO.
Sementara itu, wakil pembahas dari Pulau Pinang, Farah Izzati Abdul Rahman menegaskan bahawa isu kesihatan mental wanita muda bukan lagi isu pinggiran.
Menurutnya, ia merupakan isu semasa yang berlaku secara nyata di Pulau Pinang, dan data sedia ada menunjukkan tiada ruang untuk berlengah atau berdolak dalih dalam menanganinya.

“Di Pulau Pinang, laporan dan data rasmi menunjukkan bahawa sekitar satu daripada 10 belia pernah terfikir, merancang atau cuba membunuh diri. Statistik kerajaan negeri turut menunjukkan 12 peratus belia pernah terfikir untuk membunuh diri, 9.5 peratus pernah merancang dan 9.3 peratus pernah mencuba.
“Antara tahun 2020 hingga 2025, sebanyak 564 kes bunuh diri direkodkan di Pulau Pinang. Angka ini jelas menunjukkan bahawa tekanan mental dalam kalangan remaja dan orang muda di Pulau Pinang berada pada tahap serius, termasuk melibatkan wanita muda.
“Faktor risikonya juga jelas dan berulang, termasuk tekanan akademik dan prestasi, tekanan kewangan serta kos sara hidup, tekanan hubungan keluarga dan sosial, serta stigma dan kekurangan akses kepada sokongan awal kesihatan mental,” ujarnya. – UMNO Online
