UMNO Tunjang Utama Orang Melayu, Terus Memimpin Perjuangan

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Tuminah Kadi@Mohd Hasim berkata UMNO kekal tegas mempertahankan prinsip Islam, bangsa Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu yang disifatkan sebagai asas dan “harga mati” perjuangan parti sejak penubuhannya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur berkata ini kerana UMNO bukan sekadar parti yang menumpang dalam landskap politik semasa, sebaliknya merupakan tunjang utama dalam sanubari orang Melayu yang menjadi sandaran harapan dan kepercayaan rakyat.

“Dalam Kerajaan Perpaduan, jangan sesekali biarkan identiti UMNO terhakis. Prinsip Islam, Melayu dan Institusi Raja-Raja adalah “harga mati”. kita bukan sekadar menumpang, kita adalah “big brother” dalam sanubari orang Melayu.

“Perbezaan pendapat diraikan dengan hikmah, tanpa menjejaskan maruah parti.

“Perbezaan pandangan bukanlah tanda penentangan, sebaliknya lambang kematangan berfikir dalam kerangka demokrasi yang beradap. Adat dan nilai ketimuran tetap dijunjung tinggi sebagai asas keharmonian,” katanya.

Tuminah berkata demikian sebagai penyokong Ucapan Dasar Ketua Wanita sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut menyentuh berkenaan pemerkasaan ekonomi wanita yang disifatkan bukan lagi sebagai isu pinggiran, sebaliknya telah berkembang menjadi agenda nasional yang perlu diberi perhatian serius.

Katanya, wanita bukan sekadar pendukung perjuangan dalam parti dan masyarakat, malah merupakan penggerak ekonomi sebenar yang menyumbang secara langsung kepada kestabilan keluarga dan pertumbuhan ekonomi.

“Hari ini dalam konteks Kerajaan Perpaduan, peluang untuk meperkasa ekonomi wanita terbuka luas dan lebih tersusun. Ini bukan ‘retorik’, ini realiti pentadbiran.

“Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan pengerusi kepada 32 Majlis Tindakan Kabinet yang menjadi tulang belakang kepada penyelarasan dasar dan pelaksanaan antara kementerian.

“Pandanglah Kerajaan Perpaduan Madani ini dengan menggunakan mata dan akal yang tajam, 32 majlis ini memberikan impak secara langsung kepada ekonomi wanita khususnya puan-puan semua,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO