Pemuda Fokus Gerak Kerja, Susun Langkah Seterusnya Demi Kelangsungan UMNO – Hairi
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah menegaskan bahawa sayap pergerakan itu kini berada di fasa kesiapsiagaan tertinggi untuk memperkukuh gerak kerja parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata amanat yang disampaikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam, menjadi suntikan semangat buat seluruh jentera Pemuda untuk memastikan UMNO kembali mendapat tempat di hati rakyat.
Menurut Hairi, tempoh kurang dari dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) menuntut satu gerak kerja yang lebih serius serta tersusun.
“Pemuda diingatkan agar tidak lagi menoleh ke belakang, sebaliknya fokus kepada usaha membangkitkan semula keyakinan rakyat terhadap perjuangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
”Kita tidak mempunyai banyak masa. Gerak kerja di peringkat akar umbi harus diperkasakan sekarang juga bagi memastikan kita mampu menawarkan kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat,” jelasnya.
Mengulas mengenai cabaran politik semasa, Hairi menekankan kepentingan perpaduan dalaman parti seperti yang ditekankan oleh pucuk pimpinan dan beliau bersetuju bahawa ahli UMNO perlu bergerak sebagai satu pasukan yang solid, terutama dalam mendepani dunia pendigitalan.
”Dalam era media sosial hari ini, Pemuda perlu menjadi benteng hadapan untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan menangkis segala fitnah yang cuba merosakkan imej parti. Kita perlu menguasai ruang digital demi memastikan mesej perjuangan UMNO sampai kepada anak muda,” katanya lagi.
Sambil memuji kehadiran luar biasa para perwakilan kali ini, Hairi optimis bahawa momentum positif ini akan diterjemahkan kepada kemenangan buat parti pada masa hadapan.- UMNO Online
