Tetapkan 30 Peratus Kuota Calon Wanita Sebagai Keperluan Wajib
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Wanita UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rahmah Jan Sulaiman Khan menegaskan keperluan UMNO dan kepimpinan negara menetapkan hala tuju politik yang lebih matang dan berdaya saing, selari dengan cabaran semasa landskap politik tanah air.
Beliau berkata, politik hari ini tidak boleh lagi bersandarkan nostalgia atau sentimen semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan berteraskan kepimpinan berintegriti dan keupayaan menyatukan isu secara holistik.
“Sehubungan itu, Wanita UMNO mendesak agar Perlembagaan UMNO Fasal 10 dipinda bagi menetapkan 30 peratus kuota calon wanita sebagai keperluan wajib, bukan sekadar sasaran, dalam semua pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Langkah ini hendaklah disertai dengan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) khusus kepada kepimpinan negeri dan bahagian, pelaksanaan dasar “zoning kerusi” untuk wanita.
“…serta perancangan pilihan raya yang tersusun, mampan dan berkesan tanpa menjejaskan prinsip demokrasi dan kepentingan nasional,” katanya.
Rahmah berkata demikian sebagai pencadang sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut sama menegaskan pendirian agar pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dikaji secara teliti dan menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurut beliau, penelitian tersebut penting bagi memastikan UEC tidak bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara dan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu beliau turut mendesak kerajaan agar melaksanakan transformasi ekonomi yang berani dan bersasar, dipacu oleh kepimpinan berintegriti yang benar-benar mengutamakan kebajikan rakyat
“Laksanakan transformasi ekonomi yang berani dan bersasar, dengan kepimpinan berintegriti yang mengutamakan kebajikan rakyat melalui penglibatan NGO (badan bukan kerajaan), persatuan pengguna, usahawan serta pembangunan modal insan, khususnya wanita.
“Transformasi ini termasuk penstrukturan semula sistem cukai yang adil, pengurangan kebergantungan kepada import, pembanterasan rasuah bagi mengelakkan ketirisan, serta sokongan kepada perdagangan yang adil dan saksama,” ujar beliau. – UMNO Online
