Pemuda UMNO Perlu Terus Jadi Suara Keberanian Dan Kejujuran – Hasry Sham

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasry Sham Chasmen, menyeru agar Pemuda UMNO terus menjadi suara keberanian dan kejujuran dalam memperjuangkan prinsip parti serta menegakkan politik nilai yang berasaskan keberanian, keadilan sosial, dan keikhlasan perjuangan.

Dalam ucapannya sebagai pencadang usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO hari ini,  beliau menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh, yang disifatkannya sebagai tokoh yang berani memimpin ketika parti sedang diuji dan bukannya ketika berada di puncak kekuatan.

“Beliau tidak memilih laluan selamat, sebaliknya menempuh jalan penuh risiko, cemuhan dan tekanan. Apa pun orang kata, seluruh Malaysia tahu bahawa Datuk Akmal ialah pemimpin yang bekerja, bukan sekadar Yang Berhormat,” katanya.

Terdahulu Dr Akmal menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada perhimpunan agung pergerakan itu, di sini, hari ini.

Hasry turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO,  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, atas peluang yang diberikan kepada calon-calon muda, terutamanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan lima calon Pemuda diberi kepercayaan untuk bertanding.

Beliau berkata, semangat serta aura kepimpinan Ketua Pemuda berjaya menggerakkan lautan jentera muda, terutama dalam kejayaan di beberapa kawasan seperti Nenggiri, Mahkota dan Kunak.

Dalam ucapannya, Hasry turut mengingatkan bahawa UMNO perlu terus memperjuangkan penyatuan Melayu Islam untuk ummah sebagai asas kestabilan politik negara.

“Kegelisahan yang dizahirkan oleh Pemuda bukan kerana emosi, tetapi kerana tanggungjawab terhadap masa depan bangsa. Jika kita mampu bersatu atas dasar ummah, kestabilan politik akan dapat dikembalikan,” tegasnya.

Beliau seterusnya menyeru agar seluruh jentera Pemuda untuk terus memimpin barisan hadapan dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat, terutama generasi muda, terhadap perjuangan parti keramat UMNO.

“Pemuda UMNO mesti berada di hadapan dalam mengembalikan sokongan anak muda – bukan melalui janji, tetapi melalui tindakan yang dirasai dan prinsip yang dihormati,” tambahnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO