Wanita Muda Perlu Berani, Bukan Sekadar Pelengkap – Laiji Ompongoh
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Penyokong usul ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Laiji Ompongoh mengingatkan seluruh ahli Puteri UMNO agar tidak malu untuk tampil ke hadapan, sebaliknya berani mengambil peranan lebih besar dalam kepimpinan parti demi masa depan UMNO dan negara.
Beliau yang juga Setiausaha Puteri UMNO Sabah berkata, landskap politik hari ini menuntut penglibatan lebih aktif golongan wanita muda kerana parti memerlukan tenaga baharu, idea segar dan keberanian anak muda untuk terus relevan dengan kehendak rakyat.
“Suara wanita muda bukan lagi sekadar pelengkap, sebaliknya satu keperluan. Kita bukan kurang idea, bukan kurang keberanian dan juga bukan kurang keupayaan. Apa yang sering kurang hanyalah peluang dan keyakinan untuk melangkah ke hadapan.
“Wanita muda memahami denyut nadi masyarakat, realiti keluarga, tekanan ekonomi dan masa depan generasi akan datang. Jika tidak duduk di meja membuat keputusan, maka keputusan akan terus dibuat tanpa mengambil kira pengalaman dan keperluan.
“Jangan tunggu sehingga cukup sempurna untuk menjadi calon. Kepimpinan bukan tentang kesempurnaan tetapi tentang keberanian untuk belajar, berkhidmat dan bersuara. Setiap langkah kecil membuka jalan yang lebih luas untuk wanita selepas puteri,” beliau berkata demikian sempena Persidangan Puteri UMNO di World Trade Centre (WTC).
Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shafie Abdullah; Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta perwakilan Puteri UMNO.
Mengulas lanjut, Laiji yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pensiangan menyokong ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi yang menggesa agar realiti kehidupan anak muda diberi perhatian serius.
“Anak muda hari ini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan yang tidak menentu dan masa depan yang penuh ketidakpastian. Kos sara hidup sememangnya isu penting dan perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.
“Mereka sering merintih mengenai kos sara hidup yang mencanak tinggi, tetapi khususnya anak muda masih memilih untuk mengundi berdasarkan politik identiti. Masa depan negara tidak boleh ditentukan oleh politik wang, tetapi oleh integriti dan visi kepimpinan.
“Kesempitan hidup rakyat tidak seharusnya dijadikan alat untuk membeli sokongan semata-mata. Bantuan kewangan mesti berasaskan keperluan rakyat, bukan bermusim dan tidak hanya muncul ketika pilihan raya,” katanya lagi.- UMNO Online
