Survival Parti Memerlukan Keberanian, Bukannya Bersandar Pada Nostalgia – Nur Arina
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Pencadang usul ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nur Arina Kamarulzaman berkata landskap politik negara kini jauh berbeza berbanding masa lalu apabila corak sokongan rakyat semakin dinamik, kepercayaan tidak lagi bersifat kekal dan persepsi awam berkembang seiring perubahan zaman.
Menurutnya, Puteri UMNO berpandangan bahawa kelangsungan UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada nostalgia atau kekuatan sejarah semata-mata, sebaliknya menuntut keupayaan parti untuk menyesuaikan diri, memperbaiki kelemahan serta membina semula keyakinan rakyat.
“Puteri UMNO percaya bahawa survival UMNO tidak boleh bersandar kepada cerita kegemilangan lampau sahaja. Rakyat hari ini tidak mahu mendengar kisah kejayaan membina negara pada masa lalu, sebaliknya mereka mahukan solusi kepada masalah yang dihadapi ketika ini.
“Rakyat tidak mahu mendengar cerita-cerita yang dulu bahawa parti ini berjaya membina negara tetapi mereka lebih mendengar solusi kepada masalah yang rakyat hadapi ketika ini. Realitinya… pengundi muda tidak mengundi berdasarkan rekod sejarah semata-mata, tetapi mereka mengundi yang memahami hidup mereka danyang berani bercakap benar.
“Survival parti dominan bergantung kepada keupayaan berubah, bersatu dan menyesuaikan diri dengan kehendak rakyat, bukan bergantung kepada nostalgia kuasa semata-mata. Percayalah… UMNO tidak kalah kerana musuh terlalu kuat, tetapi kerana kita gagal menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya ketika membahas ucapan dasar di sempena Persidangan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shafie Abdullah; Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta perwakilan Puteri UMNO.
Mengulas lanjut, Arina yang juga Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Padang Rengas menjelaskan isu kenaikan had umur Puteri masih tiada kata putus.
“Puteri UMNO dengan sekali lagi mengemukakan cadangan agar had usia Puteri UMNO dinaikkan kepada 40 tahun. Cadangan ini dibuat berdasarkan realiti semasa, demi memastikan kesinambungan kepimpinan, pemindahan pengalaman dan kelangsungan Puteri UMNO dalam jangka panjang.
“Sampai bila Puteri UMNO harus menunggu keputusan tersebut, perjuangan ini telah dimulakan dari zaman dahulu dan diteruskan pada zaman kini. Tapi sampai ke saat dan ketika ini masih belum dapat dilaksanakan.
“Betapa rugi dan sayangnya perjuangan yang penuh pengorbanan itu sekiranya tidak kesampaian. Kita tidak boleh biarkan usaha dan pengorbanan mereka. Puteri berharap agar perkara ini dapat dipertimbangkan dan diputuskan secara menyeluruh demi kepentingan parti,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar pimpinan tertinggi berani membuat keputusan dan membuktikan bahawa parti ini benar-benar menghargai tenaga, kesetiaan dan kepimpinan wanita muda. – UMNO Online
