UMNO Mesti Jadi Pelopor Pastikan Akta Pendanaan Politik Diwujudkan – Noraini
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata UMNO mesti menjadi pelopor untuk pastikan Akta Pendanaan Politik segera diwujudkan.
Ujar Menteri Perladangan dan Komoditi itu, akta tersebut dalam usaha parti hendak membina sistem politik yang adil dan matang, dan ia memerlukan satu iltizam politik yang tinggi dan progresif.

“Dengan akta ini setiap sen yang masuk akan direkodkan dengan jelas, setiap sumbangan akan didedahkan secara telus, setiap penderma akan diketahui identiti mereka dan tiada lagi ruang untuk fitnah dan tohmahan.
“Ini bukan sahaja melindungi UMNO, ini melindungi demokrasi Malaysia. Ada pihak yang mungkin takut dengan Akta Pendanaan Politik ini. Takut terdedah. Takut terbongkar. Takut rahsia mereka terungkai. Tetapi bukan UMNO.
“UMNO adalah parti perjuangan. UMNO adalah parti yang berani. Kita sudah lebih tujuh dasawarsa mempertahankan maruah bangsa dan negara. Kita tidak akan tunduk kepada ketakutan atau keraguan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO di Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Jelas Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Akta Pendanaan Politik ini bukan sekadar satu undang-undang.
“Ia adalah lambang kepada politik baharu Malaysia. Politik yang bersih. Politik yang telus. Politik yang mengutamakan kepentingan rakyat. Inilah warisan yang kita mahu tinggalkan untuk anak cucu kita! Bukan warisan fitnah dan tohmahan.
“Bukan warisan syak wasangka dan tuduh-menuduh. Tetapi warisan politik yang mulia, yang berintegriti, yang boleh dibanggakan,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, rentetan kejayaan agenda JELITA, Wanita UMNO akan perkenalkan satu lagi inisiatif Pemberdayaan Ekonomi Wanita yang diberi nama ‘Center of Excellence DELIMA’.
“DELIMA akan menjadi kerangka baharu dalam Informal Ekonomi dan Kendiri Wanita. Sebuah gagasan yang menghimpunkan kekuatan, daya tahan wanita dalam membina ekonomi diri, keluarga dan negara.
“Melalui DELIMA ini, kita akan melahirkan lebih ramai usahawan wanita,” kataya.
Begitu juga katanya sudah tiba masanya agenda Women in Halal Industry diangkat sebagai agenda strategik negara.
“Wanita bukan sahaja perlu menjadi pengeluar, tetapi menjadi pemain penting dalam industri yang besar ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana telah mengangkat industri halal negara.
“Justeru itu, Wanita UMNO mencadangkan supaya, agenda Women in Halal Industry ini dijadikan salah satu agenda utama, di bawah Majlis Pembangunan Industri Halal Negara (MPIH) yang dipengerusi sendiri Presiden kita.
“Dengan pendekatan ini, industri halal tidak lagi sekadar menjana keuntungan, tetapi menjadi wahana memperkasa wanita, mengukuhkan ekonomi keluarga, dan memperteguh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia,” katanya. – UMNO ONLINE
