Noraini Terus Sepakat, Kunci Kebangkitan UMNO Hadapi PRU16
KUALA LUMPUR, 15 Jan — Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menegaskan bahawa kekuatan sebenar UMNO terletak pada kesepakatan dalaman, bukan semata-mata pada kemenangan atau kekalahan pilihan raya.
Berucap dalam Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini, beliau mengingatkan bahawa perpecahan dalaman adalah ancaman paling besar kepada kelangsungan parti keramat itu.
“UMNO tidak pernah mati kerana kalah pilihan raya. UMNO tidak akan berkubur kerana lompat parti. Tetapi, UMNO hanya akan lumpuh jika kita berbalah sesama sendiri,” katanya.

Menurut beliau, perhimpunan kali ini bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya menjadi medan muhasabah dan penentuan hala tuju Wanita UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Perhimpunan ini adalah pertemuan jiwa-jiwa kental, yang pernah menang, pernah kalah, pernah diuji, tetapi enggan menyerah,” katanya.
Noraini turut mengingatkan bahawa landskap politik negara dan dunia telah berubah, menuntut kematangan dan kebijaksanaan dalam menjalin kerjasama politik tanpa mengorbankan prinsip perjuangan UMNO.
“Menerima realiti kerjasama politik ini, bukan bermakna UMNO menerima untuk menjadi parti yang menurut. Tidak sama sekali!”
Beliau menekankan bahawa UMNO mesti kekal sebagai parti teras dan memimpin, walaupun dalam suasana politik kerajaan perpaduan yang memerlukan kompromi antara parti.
“Bekerjasama tidak bermaksud tunduk. Berunding tidak bermaksud menyerah. UMNO tahu garisnya, tahu prinsipnya dan tahu tanggungjawabnya,” katanya.
Dalam konteks PRU16, Noraini berkata keputusan PRU15 dan prestasi pilihan raya negeri sebelum ini adalah isyarat jelas bahawa UMNO tidak boleh lagi bekerja seperti biasa.
“Kita hanya memperolehi 30 kerusi sahaja. Ini keputusan paling rendah dalam sejarah UMNO dan Barisan Nasional,” katanya sambil menegaskan bahawa baki kerusi tersebut perlu dijadikan asas kebangkitan, bukan sekadar angka untuk dipertahankan.
Beliau turut menggesa Wanita UMNO memperkukuh gerak kerja akar umbi melalui pendekatan tradisi yang berteraskan sentuhan kemanusiaan, di samping menguasai teknologi dan media digital.
“Wanita UMNO mesti bersedia dengan dua kekuatan yang saling melengkapi,” katanya, merujuk kepada kekuatan “heartware” dan “hardware” sebagai strategi utama menghadapi pertempuran politik moden.
Noraini juga menyeru Wanita UMNO untuk terus menjadi benteng hadapan parti, berlandaskan disiplin, kesetiaan dan semangat perjuangan.
“Selagi Wanita UMNO bergerak, UMNO tidak akan retak. Selagi wanita UMNO bersatu, kita akan terus berpadu,” katanya. – UMNO Online
