PAU 2025: Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bermula
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Persidangan sayap-sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO secara rasmi bermula hari ini sebagai pembuka tirai kepada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang menghimpunkan ribuan perwakilan dari seluruh negara.
Persidangan Wanita UMNO diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, manakala Persidangan Pemuda UMNO berlangsung di Dewan Merdeka dan Persidangan Puteri UMNO pula diadakan di Dewan Tun Razak 4. Ketiga-tiga persidangan ini menjadi platform penting kepada perwakilan sayap untuk membahaskan usul, menyuarakan pandangan serta memperkukuhkan hala tuju perjuangan parti.

Seawal pagi, perwakilan mula memenuhi dewan masing-masing dengan penuh semangat dan disiplin, mencerminkan komitmen berterusan ahli-ahli UMNO dalam memperkukuh parti keramat orang Melayu itu.
Suasana persidangan turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi parti serta pemimpin-pemimpin sayap dari peringkat pusat dan negeri.
Malam tadi, perasmian serentak persidangan terbabit telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka.
Ketiga-tiga sayap ini dijangka mengemukakan usul dan resolusi penting yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO bagi dibahaskan dan diputuskan di peringkat tertinggi parti. Usul-usul berkenaan mencerminkan aspirasi akar umbi serta harapan ahli-ahli UMNO terhadap masa depan parti dan negara.
Perhimpunan Agung UMNO kali ini dilihat amat signifikan dalam landskap politik semasa, apabila parti terus memperkukuh peranan sebagai tunjang perjuangan bangsa, agama dan tanah air.
Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan berlangsung sehingga Sabtu ini dan kemuncaknya ialah persidangan perwakilan UMNO yang akan menghimpunkan seluruh kepimpinan dan perwakilan dari seluruh negara. – UMNO Online
