Mohamad Gariskan Arahan Operasi Sayap Hadapi PRU-16

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menggariskan Operasi Sayap bagi Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.

Menurut Menteri Luar itu, Wanita UMNO dipertanggungjawabkan sebagai Agen Ekonomi Rumah Tangga, Pemuda UMNO sebagai Pendesak, Pemantau, Penjaga Bangsa dan Loceng Kecemasan manakala Puteri UMNO bertindak sebagai Jentera Perang Maya.

“Kepada Wanita: ‘Agen Ekonomi Rumah Tangga’. Kepada ibu-ibu sekalian, saya amanahkan tugas Penyelesai Masalah Ekonomi. Audit dapur rakyat.

“Jika bantuan kerajaan tercicir, Wanita UMNOlah yang tolong dapatkan. Jika harga barang naik, desak menteri bertindak. Biar rakyat kata: “Parti lain sibuk berpolitik, tapi bila beras habis, Wanita UMNO yang sampai dulu”,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Hadir sama ketiga-tiga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan; Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Bendahari Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Seterusnya, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata sifat Pemuda yang lantang demi kepentingan rakyat dan orang Melayu khususnya perlu dikekalkan.

“Kepada Pemuda: ‘Pendesak, Pemantau, Penjaga Bangsa dan Loceng Kecemasan’. Saya tahu Dr. Akmal (Datuk Dr Akmal Saleh) dan Pemuda telah menjeritkan hal isu rakyat dalam Konvensyen Pemuda baru-baru ini. Ada pihak yang kata Pemuda biadab.

“Bagi saya, tidak. Tugas Pemuda memang Pembingit dan ‘Rebellious’. Tugas Pemuda menjadi loceng kecemasan. Dr. Akmal, Pemuda, teruskan keberanian kamu. Tapi, jadilah ‘Pembangkang Konstruktif’ dari dalam kerajaan. Jika ada dasar kerajaan yang merugikan Melayu, atau menekan rakyat, Pemudalah yang akan bangkit dan menyanggah terlebih dahulu.

“Rampas naratif ‘Hero Rakyat’ daripada pembangkang. Buktikan Pemuda UMNOlah yang paling efektif menjaga Melayu, bukan mereka yang hanya pandai main sentimen,” tegasnya.

Manakala kepada Puteri UMNO, Mohamad mempertanggungjawabkan mereka sebagai ‘Jentera Perang Maya’.

“Kepada Puteri: ‘Jentera Perang Maya’. Sabah mengajar kita satu perkara: Kita kalah di TikTok. Puteri, medan perang kamu di skrin telefon. Saya mahu Puteri menjadi Unit Risikan Data.

“Ubah persepsi anak muda. Masuk ke kolej-kolej, masuk ke ruang digital. Naikkan isu ‘mental health’, isu gaji bermaruah. Pastikan Undi18 nampak UMNO sebagai kawan yang memahami,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO