UMNO Milik Semua, Tanggungjawab Ahli Pertahankan Parti – Nurul Amal
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata UMNO milik semua dan menjadi tanggungjawab ahli mempertahankan dan mengukuhkannya.
Jelasnya, jangan sampai generasi-generasi pewaris UMNO tidak lagi ada rasa empunya dengan parti sendiri dan tidak ada rasa kebersamaan serta bangga menjadi ahli yang dulunya begitu gemilang dan dipandang rakyat.

“Apalagi yang ada sekarang jika berterusan bercakaran sesama sendiri dan parti tidak akan lama bertahan. UMNO bukan milik individu atau kelompok tertentu. UMNO milik semua. Tanggungjawab mempertahankan dan mengukuhkan parti adalah tanggungjawab bersama seluruh ahli.
“Politik negara memerlukan satu titik noktah kepada permainan politik berterusan. Maka satu langkah besar iaitu ‘Rekonsiliasi Politik Nasional’ harus dibuat. Pendamaian politik harus dimulakan oleh UMNO. Perpecahan hari ini juga serpihan dari 10 Perdana Menteri yang juga lahir daripada UMNO.
“UMNO tidak boleh bersifat eksklusif. Pintu parti mesti dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa yang mahu berjuang dan berkawan. Keterbukaan inilah kekuatan UMNO dan membuatkan parti kita terus bertahan dan berkembang,” katanya dalam ucapan dasar sempena Persidangan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shafie Abdullah; Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; dan Datuk Ahmad Ismail serta perwakilan Puteri UMNO.
Mengulas lanjut, Nurul Amal berharap ahli parti dapat membina semula kembali hubungan silaturahim yang terlerai dan bina impian baharu.

“Ahli parti perlu bina kembali rumah (UMNO) ini. Rumah perjuangan yang pernah menyatukan harapan dan pengorbanan dan Puteri UMNO tunggu dengan senang hati. Kita sambung ukhuwah yang terlerai, bina impian baru untuk digapai. Satukan langkah dan tekad demi masa depan bangsa yang lebih bermaruah dan berdaulat.
“Teruskan perjuangan dan terus jalan ke hadapan. Kita bukan sahaja pemimpin hari ini, tetapi juga, pemimpin masa depan, yang akan menangkat suara wanita muda sampai bila-bila.
“Survival UMNO yang Puteri tegaskan bukan bermaksud sekadar bertahan, tetapi memastikan UMNO tidak mati, tetapi beradaptasi untuk kembali relevan. Kita akui kelemahan tapi bukan lagi waktu untuk selesa berada dalam mod bertahan,” katanya lagi.
Tegasnya, Puteri UMNO sentiasa sayangkan parti ini dan sampai bila-bila pun kesetiaan akar umbi parti akan tetap utuh.
“UMNO selalu menjadi tempat kami berteduh dan akan perkukuh. Andai gelap, kami bersuluh, membawa panji perjuangan yang tidak pernah runtuh. Walau pelbagai cabaran datang Puteri UMNO tidak pernah gentar, tidak rebah, pantang berundur dan menyerah,” ujarnya. – UMNO Online
