Perasmian Sayap: Ucapan Tok Mat Galakkan Pemuda Terus Berpolitik ‘Cara Kita’

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros berpandangan bahawa ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) memberi galakan untuk Pemuda UMNO terus berpolitik mengikut cara mereka.

Ujarnya, saranan dan pandangan yang diberikan ketika ucapan itu berlangsung bertepatan dengan usaha perlu dilakukan pada masa kini mengikut iklim politik sedia ada.

“Pertamanya, Tok Mat tak mengambil masa yang begitu lama untuk menyampaikan pesanan dan saranan beliau kepada sayap-sayap. Kalau dalam konteks Pemuda, saranan dan pandangan Tok Mat berikan itu benar-benar tepat dengan apa yang sepatutnya kita buat.

“Beliau menerangkan kepada kita tentang keperluan dari segi kerelevanan kenapa UMNO ini perlu terus berada dalam Kerajaan Perpaduan. Bukan semata-mata kerana kuasa tapi yang paling mustahak … UMNO perlu memainkan peranan secara efektif untuk pastikan bukan sahaja soal kestabilan kerajaan itu kita dapat kekalkan.

“Paling utama berkenaan dengan kepentingan UMNO untuk memastikan nilai dan prinsip UMNO itu dapat benar-benar diterapkan dalam kerajaan yang ada pada hari ini.

“Jadi, kalau tanya pandangan saya memang saranan dan pandangan yang telah dilontarkan oleh Timbalan Presiden ini betul-betul tepat. Ianya diharapkan dapat disahut oleh para perwakilan Pemuda khususnya dalam ucapan Ketua Pemuda dan juga perbahasan oleh jurucakap-jurucakap,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, galakan yang diberikan kepada Pemuda akan diolah mengikut gaya dan selera orang muda untuk menambat semula hati mereka agar kembali menyokong UMNO.

“Galakan tersebut bermakna bahawa apa yang kita buat selama ini mungkin ada sebahagian yang berasa tidak selesa. Tetapi setidak-tidaknya ia memberi kita satu ‘conviction’ untuk kita buat apa yang Pemuda rasa kita percaya.

“Jadi, itu merupakan ‘encouragement’ ataupun galakan untuk kita terus berpolitik dengan cara kita. Apa yang paling mustahak adalah untuk percaya apa yang kita rasa dan kita olah mengikut gaya serta selera orang muda melalui sayap Pemuda. Jadi, ia adalah ‘encouragement’ satu bentuk galakan dan juga pengiktirafan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO akan menjadi pentas untuk mereka membincangkan isu-isu yang membelenggu orang muda pada ketika ini.

“Saya berharap agar Ketua Pemuda dalam ucapan dasar dan juga jurucakap untuk manfaatkan pentas bagi kita ceritakan berkenaan dengan wawasan serta saranan tentang pelbagai isu yang melanda orang muda pada hari ini.

“Soal berkenaan dengan pendidikan yang kita pun tahu ada nak memperkenalkan semula peperiksaan dan banyak isu-isu lain yang membelenggu orang muda seperti soal kerja, rumah, ekonomi serta masa depan mereka.

“Jadi, saya harap itu semua dapat dimanfaatkan oleh perwakilan dan jurucakap untuk kita lontar serta kongsikan segala wawasan termasuk saranan yang UMNO boleh kemukakan. Ini semua adalah untuk kita menambah minat dan juga sokongan orang Melayu khususnya kepada kita,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO