Pemuda UMNO Sokong Penegasan Tok Mat, Penyertaan Kerajaan Demi Kestabilan Negara – Jamil Pauzi
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Exco Pemuda UMNO, Md Jamil Pauzi menyokong penuh penegasan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa perasmian sayap UMNO, bahawa penyertaan parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah demi kestabilan negara, bukan kerana gila kuasa.
Menurutnya, pendirian yang disuarakan dalam ucapan semasa perasmian sayap-sayap UMNO itu wajar difahami secara menyeluruh oleh semua pihak, khususnya akar umbi parti.
Katanya, Pergerakan Pemuda UMNO perlu memainkan peranan penting sebagai pendesak, penyemak dan pengimbang yang berani dalam memastikan setiap dasar serta keputusan kerajaan sentiasa selari dengan prinsip perjuangan UMNO dan kepentingan rakyat.
“Pergerakan Pemuda UMNO harus berperanan sebagai pendesak, penyemak dan pengimbang yang berani, memastikan setiap keputusan kerajaan tidak menyimpang daripada prinsip perjuangan parti dan kepentingan rakyat.
“Pemuda juga wajar tampil menegur secara tegas sekiranya wujud mana-mana individu atau pihak yang cuba mengheret UMNO ke kancah polemik, mengeruhkan keadaan atau mencetuskan persepsi negatif terhadap parti, sama ada dari dalam mahupun luar.
“Dalam landskap politik pasca PRU15 yang masih rapuh, UMNO memilih jalan yang sukar tetapi bertanggungjawab menjadi ‘sauh’ agar negara tidak terus terumbang-
ambing akibat ketidaktentuan politik dan ekonomi,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau lagi, perjuangan UMNO kekal dalam mempertagan tiga asas utama yang melibatkan agama Islam, Raja-Raja Melayu dan bangsa.
“UMNO akan terus mempertahankan dan memelihara institusi Raja-Raja Melayu serta kesucian agama Islam, dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana cubaan untuk mencemari keharmonian negara melalui permainan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
“Prinsip ini akan kekal menjadi asas perjuangan UMNO dalam apa jua bentuk kerjasama politik,” ujarnya. – UMNO Online
