Perkasakan Lagi Media Sosial, Teknologi Semasa Untuk UMNO Kekal Relevan – Lokman

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menekankan bahawa penggunaan media sosial dan teknologi terkini perlu dipertingkatkan selaras dengan gesaan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi memperkukuhkan UMNO menghadapi cabaran semasa.

Menurut Lokman, ahli parti bukan sahaja perlu menangkis tohmahan pihak lawan, tetapi juga memperluaskan penggunaan media sosial untuk menyebarkan perkara positif yang dibawa oleh parti.

“Ahli-ahli parti sepatutnya menyokong dan menyambut aspirasi yang diperjuangkan oleh parti. Namun kini, apabila pihak pembangkang menyerang, ada juga yang tanpa disedari menyebarkan bahan mereka dalam kumpulan UMNO sendiri. Situasi ini memudahkan kerja pembangkang dan menimbulkan persepsi negatif terhadap parti,” ujarnya.
Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025, di Dewan Merdeka, di sini petang tadi.

Beliau menambah, Presiden telah menegaskan bahawa ini bukan masanya untuk terus menggunakan cara lama.

“Pendekatan baharu perlu diambil, di mana ceramah bersemuka masih relevan tetapi perlu diselitkan elemen digital seperti siaran langsung (live streaming) untuk capaian lebih luas.

“Perkara ini penting kerana kita tidak boleh terus bergantung kepada kaedah lama. Kita perlu menghasilkan video pendek, kandungan digital, dan pelbagai bentuk komunikasi lain yang selaras dengan kehendak generasi muda.

“Jika kita mahu mendapat sokongan golongan muda, media sosial yang mereka gunakan seperti Instagram dan TikTok perlu dimanfaatkan sepenuhnya, bukannya hanya bergantung kepada Facebook,” jelas beliau.

Seterusnya, Lokman menekankan bahawa pendekatan ini penting untuk memastikan parti terus relevan dalam kalangan anak muda dan berkesan dalam memperjuangkan aspirasi rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO