AI Chatbot UMNO: Cermin Kesediaan UMNO Manfaatkan Teknologi Sebagai Medium Penerangan
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Chatbot UMNO yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) telah dilancarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi.
Gimik perasmian pelancaran AI Chatbot UMNO tersebut dilakukan sebagai simbolik kepada kesiapsiagaan Penerangan UMNO khususnya untuk mendepani pilihan raya akan datang.

Ia turut mencerminkan kesediaan UMNO untuk memanfaatkan teknologi AI sebagai medium penerangan, penyampaian maklumat dan mendekati rakyat secara lebih pantas serta berkesan.
Selain itu, AI Chatbot UMNO tersebut juga dibangunkan agar pengguna dapat mengakses maklumat sahih berkaitan parti di samping menepis fitnah dimainkan pihak lawan.
Perisian tersebut telah dibangunkan oleh Penerangan UMNO Malaysia dengan kerjasama Sekolah Patriotik UMNO (SPU). Ia akan dapat dicapai oleh pengguna menerusi Facebook Messenger UMNO Online.
Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said telah menyerahkan memorandum persefahaman (MoU) di antara Penerangan UMNO Malaysia dan SPU dengan tujuan untuk melaksanakan latihan berkala serta berfasa dalam komunikasi politik, media digital dan penerangan strategik kepada peserta dan alumni SPU.

MoU tersebut antara lain turut memanfaatkan teknologi digital dan AI, termasuk pembangunan AI Chatbot UMNO Malaysia sebagai alat pendidikan dan sokongan penerangan.
Di samping itu, ia juga adalah untuk memperkasa peserta dan alumni SPU sebagai agen Komunikasi Digital UMNO yang berfungsi sebagai barisan hadapan penyampaian mesej dan dasar parti.
Turut serta dalam Majlis Pelancaran tersebut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib-Naib Presiden UMNO, Ketua-Ketua Sayap dan barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Majlis tersebut diadakan sejurus selepas Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC). – UMNO Online
