Perhimpunan Agung UMNO 2025 Perkukuh Ukhuwah, Satukan Fikrah Parti – Rais

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berharap Perhimpunan Agung UMNO 2025 menjadi medan terbaik untuk para perwakilan bermusyawarah secara matang dalam usaha memperkukuhkan lagi perjuangan parti.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka seterusnya berkata, perhimpunan itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh ukhuwah perjuangan, menyatukan fikrah serta bertukar pandangan secara tegas dan berhemah demi memastikan kelangsungan masa depan UMNO sebagai sebuah parti keramat.

“Saya mengucapkan Selamat Bersidang kepada seluruh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2025. Mewakili seluruh kepimpinan dan warga UMNO Bahagian Tangga Batu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan padu dan komitmen semua yang hadir dalam persidangan yang penuh bermakna ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Menurut Rais, inilah ruang terbaik untuk ahli dan kepimpinan parti menilai, memperbaiki serta merangka langkah-langkah strategik yang lebih ampuh agar perjuangan UMNO terus relevan, diyakini dan kekal dekat di hati rakyat.

Beliau turut berharap agar segala resolusi yang dizahirkan menerusi perhimpunan berkenaan bersifat lebih jelas dan mantap, sekali gus mampu menyuntik iltizam yang kental dalam kalangan ahli parti.

“Ia penting bagi memastikan ahli UMNO kekal istiqamah dalam memartabatkan agama, membela bangsa dan mempertahankan tanah air,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO