Digitalisasi Maklumat Amat Penting, Elak Strategi ‘Tembak Tanpa Sasaran’ – Shaik Hussein

​KUALA LUMPUR, 14 Jan – Pendigitalan dan pengurusan data yang sistematik dilihat salah satu aspek penting dalam usaha untuk memperkukuh strategi UMNO bagi memastikan parti kekal relevan dalam landskap politik moden.

​Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin menegaskan bahawa kegagalan menguasai data menyebabkan gerak kerja parti menjadi tidak cekap, ibarat memiliki peluru yang banyak tetapi tidak mengetahui sasaran yang tepat untuk ditembak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang pleno Simposium Politik Era Digital anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang berlangsung di Dewan Tun Hussein, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

​Mengulas lanjut, Shaik Hussein berkongsi pengalaman peribadi mengenai kepentingan audit data ahli melalui aplikasi digital bagi mengelakkan manipulasi jumlah sokongan di peringkat akar umbi.

​“Kita sering mendengar dakwaan cawangan mempunyai ribuan ahli, namun apabila sistem kod QR dan aplikasi digunakan, jumlah yang benar-benar dikenali dan aktif mungkin jauh lebih kecil. Tanpa data yang sahih, kita hanya membuang masa dan sumber.

​“Malah, penggunaan aplikasi berpusat amat penting untuk menyelaraskan naratif parti. Kita mahu setiap pemimpin dari Perlis ke Sabah memberikan jawapan yang seragam terhadap isu nasional, bukannya naratif yang berbeza-beza sehingga mengelirukan ahli,” katanya.

​Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli agar mengutamakan kekuatan dalaman UMNO sendiri sebelum mengharapkan kekuatan daripada rakan kerjasama politik yang lain.

​Beliau menegaskan bahawa dalam dinamika politik hari ini, pihak lawan mahupun kawan tidak akan menghormati atau mahu bekerjasama sekiranya UMNO berada dalam keadaan lemah.

​“Kita mesti kuat dahulu. Jika kita lemah, sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), tiada siapa yang akan mahu memandang kita. Kekuatan itu bermula daripada jentera penerangan yang konsisten dan berwibawa,” tambahnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO