PAU 2025: Medan Perwakilan Suarakan Denyut Nadi Akar Umbi – Jasnizam

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap menyeru seluruh perwakilan agar menggunakan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini dengan sebaik-baiknya.

Ketuanya, Muhamad Jasnizam Muhamad Husni berkata, PAU 2025 merupakan medan paling penting dan bermakna untuk seluruh perwakilan dari segenap pelosok negara menyuarakan denyut nadi akar umbi secara jujur, berani dan bertanggungjawab.

“Bercakaplah bagi pihak rakyat, bukan demi kepentingan peribadi. Hanya dengan kejujuran dan keberanian, keyakinan masyarakat dapat kita pulihkan. Bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) benar-benar insaf, bersedia berubah dan kembali menjadi parti yang membela rakyat, bukan parti yang hanya bercakap soal kuasa.

“UMNO mesti bangkit bukan kerana sejarahnya, tetapi kerana jasanya kepada rakyat hari ini dan masa hadapan. Inilah platform terbaik untuk kita bermuhasabah, menilai kelemahan serta membina semula kekuatan parti keramat ini. PAU kali ini tidak seharusnya sekadar menjadi medan ucapan rutin atau mempertahankan kedudukan, sebaliknya mesti menjadi titik perubahan sebenar.

“Suara orang muda perlu diberi ruang dalam membuat keputusan, bukan hanya dijadikan pelengkap persidangan. UMNO tidak akan bangkit jika terus menutup pintu kepada idea baharu dan generasi pelapis,” katanya kepada UMNO Online.

Jasnizam yang juga Naib Ketua UMNO Negeri Kedah menjelaskan langkah memulihkan keyakinan rakyat perlu bermula dengan keberanian mengakui kesilapan, kesungguhan melakukan pembaharuan dalaman serta keikhlasan kembali berkhidmat kepada rakyat tanpa bersyarat.

“Politik lama yang bersifat elitis, berjarak dengan rakyat dan sarat dengan konflik dalaman mesti dihentikan. Sebagai parti yang pernah menjadi tunjang kestabilan negara, UMNO dan BN tidak boleh menafikan hakikat bahawa keyakinan masyarakat terhadap kita telah terhakis.

“Parti perlu tampil dengan agenda rakyat yang jelas seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan belia, pendidikan berkualiti, isu petani dan luar bandar mesti menjadi keutamaan, bukan sekadar slogan. Rakyat hari ini menilai berdasarkan tindakan, bukan nostalgia,” ujarnya.

Perhimpunan tahunan ini menghimpunkan seramai 6,412 perwakilan melibatkan UMNO, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri, selain disertai 366 petugas media termasuk media antarabangsa.

PAU 2025 ini menjadi perhatian utama rakyat dan ahli parti kerana ia bukan sahaja menentukan strategi parti, malah turut mempengaruhi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dan masa depan politik negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO