Azalina Cadang Tubuh Sayap Digital, Kuasai Politik Media Sosial
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan penubuhan sayap digital perlu dilakukan bagi memperkukuh struktur komunikasi parti seiring tuntutan landskap politik masa kini.
Menurut beliau, sayap digital ini bukan diwujudkan hanya untuk pilihan raya sebaliknya ia berperanan sebagai struktur setara di peringkat bahagian dan cawangan bagi melaksana gerak kerja digital.
“Saya ingin membuat permohonan secara terbuka tentang diwujudkan satu sayap digital yang khas sebagai rasminya wujud sebagai struktur institusi parti.
“Bukan satu sayap yang hanya diwujudkan kerana pilihan raya, bukan kerana arena politik semasA, bukan satu sayap yang hanya digunakan untuk pemilihan di peringkat bahagian dan di peringkat cawangan atau hanya membuat poster dan menaikkan gambar, bukan itu lagi.
“Kita memerlukan satu struktur yang sama ataupun setaraf dengan gerakan-gerakan yang dilakukan oleh peringkat bahagian, cawangan dan sayap-sayap,” katanya.
Azlina berkata demikian ketika berucap sempena Simposium Politik Era Digital 2026 yang diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini. Simposium ini diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; ketua-ketua penerangan negeri dan jentera penerangan bahagian seluruh negara.
Azalina menegaskan, keperluan untuk bergerak ke arah digital adalah mendesak kerana generasi pengundi muda yang lahir selepas tahun 2008 adalah sepenuhnya generasi digital.
Katanya ini kerana pengundi masa kini tidak hanya wujud di lapangan, tetapi berada di pelbagai platform media sosial.
“Dengan adanya sayap digital ini, latihan demi latihan perlu dilakukan oleh penerangan UMNO Pusat bersama penerangan UMNO Negeri bukan saja memberikan didikan di tanda suka, kongsi dan komen.
“… tetapi mewujudkan data pengundi, analisa sentimen, mikro-sasaran yang boleh kita mengajar peringkat bahagian dan negeri membaca daripada respon-respon yang diberikan,” ujar beliau. – UMNO Online
